ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRU 14 : KETIDAKTENTUAN POLITIK JIKA RAKYAT PILIH PEMBANGKANG

Saturday 6 January 2018

PRU 14 : KETIDAKTENTUAN POLITIK JIKA RAKYAT PILIH PEMBANGKANG


Malaysia bakal menghadapi ketidaktentuan politik jika Pakatan Harapan (PH) dipilih oleh rakyat untuk menguasai tampuk pemerintahan negara pada PRU ke-14 nanti.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menegaskan, krisis kepimpinan yang melanda gabungan parti dalam PH akan mengheret negara ke kancah politik yang tidak stabil sekaligus menjejaskan perkembangan pembangunan dan ekonomi negara pada masa hadapan.
“Kalau PH menang akan membawa kepada ketidaktentuan politik yang sangat tinggi. Saya tidak boleh terima perkara itu dan harap rakyat Malaysia boleh berfikir dengan waras untuk menolak mereka pada pilihan raya akan datang.
“Mereka masih tidak ada calon pemimpin yang mengetuai mereka sendiri, masalah akan timbul dengan berlaku perebutan kuasa dikalangan mereka yang membawa kepada senario politik yang tidak stabil kepada negara,” tegasnya.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkata demikian selepas majlis bersama peserta program MYCORPS Afrika di Kuala Lumpur, pada Selasa.
Menurutnya lagi, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang mampu mewujudkan kestabilan politik yang kukuh bagi menarik keyakinan pelabur asing untuk menerokai pasaran ekonomi di negara ini.
“Tiada sesiapa pun yang waras yang akan terima pemimpin seperti Dr Mahathir (Mohamad). Ia akan timbulkan krisis dan berlaku perebutan kuasa dengan  Anwar (Ibrahim), dan politik menjadi tidak stabil.
“Bukan sahaja pengundi hilang keyakinan kepada PH, ini juga akan meruntuhkan keyakinan pelabur luar dan akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara,” jelasnya.
Beliau memberi reaksi demikian susulan kenyataan Timbalan Presiden PPBM  Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersungguh-sungguh mahu bapanya menjadi Perdana Menteri sekiranya PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU ke-14 ini.
“Itu keputusan dibuat oleh PH sendiri, terpulanglah kepada mereka. Saya difahamkan keputusan itu tiada persetujuan sebulat suara pembangkang.
“Penolakan daripada pemimpin veteran PKR sangat nyata bahkan tak boleh terima Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri PH,” katanya.

Cadangan Tun M Sebagai PM Hanya Cetuskan Krisis - Khairy

Cadangan pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum ke-14 berkemungkinan mencetuskan krisis dan perebutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata keadaan itu boleh berlaku kerana difahamkan ada dalam kalangan kepimpinan veteran PKR tidak setuju dengan cadangan itu.

Beliau berkata jika keadaan itu berlaku sudah pasti akan meruntuhkan keyakinan pelabur asing yang masuk ke negara ini dan sekali gus menjejaskan ekonomi negara.

"Kita perlu berhati-hati kepada 'perkahwinan sementara' pembangkang ini, pasti akan terjadi konflik sekiranya bekas ketua pembangkang (yang merupakan penasihat PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas (daripada penjara) nanti.

"Kita difahamkan ada kepimpinan veteran PKR sendiri yang tidak setuju dengan cadangan itu, perkara-perkara yang mungkin nampak remeh ini akan membawa ketidaktentuan politik yang sangat tinggi," katanya

No comments:

Post a Comment