ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AZMIN DAN MUKHRIZ: PM, TPM BAYANGAN PEMBANGKANG SEBENAR ???

Sunday 21 January 2018

AZMIN DAN MUKHRIZ: PM, TPM BAYANGAN PEMBANGKANG SEBENAR ???

Ada yang belum beres dikalangan pembangkang apabila pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sekiranya PH menang PRU 14 terus dipertikai.
Paling ketara PKR Selangor menolak pencalonan beliau kerana berpendapat Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali lebih layak.
Menariknya, Dr Mahathir sendiri dalam sidang media pada Selasa mengakui Azmin berkebolehan bagi jawatan perdana menteri tetapi tidak dipilih.
Menyedari ia bakal mencetuskan kontroversi, Pengerusi PH itu menegaskan bahawa media tidak perlu tahu mengenai perkara itu kerana ia isu dalaman pembangkang.
Sebenarnya, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor memang layak dicalonkan jawatan perdana menteri.
Bagaimanapun, PH lebih percaya ‘aura’ Dr Mahathir untuk menarik rakyat menyokong pembangkang pada PRU kelak.
Jangan terkejut sekiranya PH menguasai kerajaan, Azmin akan dilantik sebagai perdana menteri, bukannya Dr Mahathir.
Cerita beliau sebagai perdana menteri sementara sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat pengampunan untuk dilantik menerajui negara boleh diibarat cerita dongeng.
Itu hanya sandiwara Dr Mahathir dan Anwar kerana masing-masing tahu, mereka sudah tidak mampu mengisi jawatan tersebut.
Apatah lagi, Anwar tidak boleh bertanding sama ada bagi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tempoh lima tahun selepas pembebasannya 8 Jun ini.
Jangan pelik, jika PH menguasai kerajaan, Azmin akan dilantik kerana beliau mendapat kepercayaan Dr Mahathir dan Anwar.
Tentu kedua-dua mereka sudah merancang selain Azmin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Lim Guan Eng akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan 2.
Ketiga-tiga mereka dijangka bertanding kerusi parlimen dan DUN pada pilihan raya nanti.
Bagi Dr Mahathir, kedudukan Mukhriz lebih penting daripada kerusi perdana menteri yang pernah beliau duduk selama 22 tahun. Itulah perjuangan beliau sehingga keluar UMNO dan menubuhkan PPBM, seterusnya berkomplot dengan pembangkang.
Cuma Azmin kini mungkin diberi tanggungjawab besar bagi mendapatkan PAS supaya bersama-sama PH memenangi PRU 14.
Bekas Setiausaha PAS Selangor, Norman Toha sebelum ini dilaporkan berkata, rundingan senyap sedang berlaku diperingkat tertinggi parti PKR dengan PAS terutama di Selangor bagi membolehkan kerjasama sedia ada diteruskan pada pilihan raya nanti.
Ini tidak mustahil kerana PAS sebenarnya berpecah lagi dengan satu kumpulan menyokong kepimpinan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala satu lagi tidak setuju Ahli Parlimen Marang itu ‘rapat’ dengan pemimpin UMNO.
Peluang inilah yang diambil Azmin bagi memastikan pemimpin PAS yang anti Hadi untuk turut serta bersama PH menewaskan UMNO dan Barisan Nasional.
Jika perancangan ini berjaya, Azmin membuktikan bahawa beliau memang layak dicalonkan sebagai perdana menteri bukannya Dr Mahathir seperti diuar-uarkan PH kerana itu hanyalah sandiwara pembangkang bagi menarik sokongan rakyat.

No comments:

Post a Comment