ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU FELDA : PEMBANGKANG BERHENTI JADI JAGUH !!!

Thursday 28 December 2017

ISU FELDA : PEMBANGKANG BERHENTI JADI JAGUH !!!


BASTIEN:
Saya harap keberanian dan sifat amanah Tan Sri Shahrir inilah yang akan dinilai oleh rakyat Malaysia serta peneroka Felda.

KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta tidak cuba menjadi jaguh dalam isu pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak yang bernilai RM270 juta.


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad sendiri akan menjadi jaguh dan telus dalam membawa isu itu kepada umum supaya disiasat pihak berkuasa.

Jelasnya, Shahrir juga telah sedar ada kepincangan di dalam Felda dan pasti mahu isu itu selesai segera.

"Tan Sri Shahrir sendiri telah membawa perkara ini kepada pengetahuan umum supaya disiasat pihak berkuasa walaupun tahu terpaksa menanggung serangan daripada pembangkang.

'Inilah etika politik yang sebenar, berani memperbetulkan keadaan dan bukan hanya melakukan sesuatu hanya untuk menjaga kepentingan politik Barisan Nasional (BN).

"Beliau boleh sahaja memilih untuk menyembunyikannya sebaliknya memilih untuk meletakkan kebenaran ditempatnya. Saya harap keberanian dan sifat amanah inilah yang dinilai oleh rakyat Malaysia serta peneroka Felda," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.



Sebelum ini, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa kerajaan menghentikan 'drama' Felda dan mengambil tindakan segera kepada mereka yang terlibat menyebabkan kehilangan tanah agensi itu di Jalan Semarak.


Sementara itu, Peguam DAP, Zulhazmi Shariff turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar terus menyiasat kes pindah milik tanah berkenaan selain menyatakan agensi berkenaan tidak wajar menyerahkan kes berkenaan kepada polis kerana didakwa terdapat unsur rasuah.

Dalam pada itu tegas Bastien, pembangkang seolah-olah tidak peka isu yang lebih penting iaitu pengumuman Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini yang mengharamkan pengimportan bio-diesel berasaskan kelapa sawit.

"Adakah kerana ia tidak mendatangkan keuntungan politik kepada mereka? Sudah seminggu mereka melalak-lalak kepada perkara yang telah dibongkarkan oleh Pengerusi Felda sendiri dan ia sudah dalam siasatan polis.

"Ada perkara lain selain tanah Felda yang lebih penting sekali gus akan menjejaskan nasib peneroka-peneroka di Felda Palong Timur, Felda Pemanis dan Felda di seluruh negara.

"Hal pengharaman ini langsung tidak disentuh. Saya cukup hairan dan saya ingin mengajak ahli politik pembangkang bersama-sama menyuarakan bantahan jika mereka benar-benar mengambil berat permasalahan peneroka," ujarnya.

Bastien juga mengajak ahli pembangkang bersama-sama menyuarakan bantahan tentang pengharaman itu dan bersama-sama Tan Sri Shahrir di dalam kempen yang dianjurkannya.

"Tan Sri Shahrir ada melancarkan kempen untuk mendapatkan 100,000 tandatangan membantah keputusan EU berkenaan.

"Sekurang-kurangnyanya turunkan tandatangan dan tunjukkan kebersamaan bersama peneroka-peneroka Felda dalam isu ini," tegasnya.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum ini menegaskan, langkah mengecualikan biofuel kelapa sawit daripada tenaga diperbaharui EU adalah penindasan bersifat pilih kasih serta langkah ke belakang dalam hubungan perdagangan EU dan Malaysia.

Katanya, kerajaan akan mengambil segala tindakan yang perlu untuk melindungi hak 650,000 petani kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit yang mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada belenggu kemiskinan.

Ditanya berkenaan kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak tahu urusan tanah Felda itu, Bastien berkata;

"Ia mungkin sama seperti perdagangan Forex yang Tun Mahathir juga tidak tahu semasa menjadi Perdana Menteri. Wallahualam."

Chef selebriti Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan dalam catatan terbaharu di laman Instagramnya mengingatkan orang ramai agar jangan mudah terima bulat-bulat apa-apa maklumat yang disampaikan dalam isu Felda.

Chef Wan berkata, seharusnya orang ramai menggunakan akal fikiran untuk menimbang baik dan buruk sesuatu cerita yang ditimbulkan, bukan terus percaya dengan semberono sahaja.

No comments:

Post a Comment