ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRN SARAWAK : ADENAN PERTIMBANG LETAK CALON LANGSUNG BN

Monday 15 February 2016

PRN SARAWAK : ADENAN PERTIMBANG LETAK CALON LANGSUNG BN

SANTUBONG: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata beliau sedang mempertimbang untuk meletakkan calon langsung Barisan Nasional pada pilihan raya negeri ke-11.


Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan berapa bilangan calon langsung BN yang akan bertanding.
Perkara ini (meletakkan calon langsung BN) sedang dipertimbangkan bagi menyelesaikan perebutan kerusi antara parti-parti komponen BN, katanya selepas merasmikan penutupan seminar persediaan jentera pilihan raya Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, kira kira 40 kilometer dari bandaraya Kuching.


Menurutnya formula calon langsung BN pernah digunakan pada pilihan raya Parlimen sebelum ini yang membabitkan Datuk Seri James Dawos Mamit di kerusi Mambong dan Datuk Billy Abit Joo di kerusi Ulu Rajang.


Adenan yang juga pengerusi BN Sarawak berkata beliau belum  menetapkan tarikh untuk menemui Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud bagi mendapatkan kebenaran membubarkan Dewan Undangan Negeri.


Sementara itu, Adenan berkata BN Sarawak terutamanya PBB sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya negeri, dan ia akan meletakkan beberapa anggota Pemuda dan Wanita sebagai calon.


Menyedari semangat membara dalam kalangan anggota Pemuda PBB mengenai pilihan raya negeri, beliau bagaimanapun menasihatkan mereka supaya tidak mengambil mudah pilihan raya itu.


Nasihat saya kepada pemimpin dan anggota parti (PBB) ialah supaya mereka mengambil serius pilihan raya itu tetapi dalam masa sama, harus tenang dan bersabar.


Kita pernah melalui pilihan raya sebelum ini dan kita mencapai kemenangan, jadi pada kali ini, saya yakin kita juga boleh menang, katanya.


Mengenai pembahagian kerusi, Adenan berkata pembahagian kerusi untuk PBB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah pun dimuktamadkan dengan PBB akan bertanding di 40 kerusi manakala PRS di 11 kerusi.


Bagi SUPP dan SPDP, katanya perkara itu akan diselesaikan dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment