ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GUANG ENG DICABAR TANDING DALAM PEMILIHAN DAP P.PINANG AHAD INI

Wednesday 25 November 2015

GUANG ENG DICABAR TANDING DALAM PEMILIHAN DAP P.PINANG AHAD INI

GEORGE TOWN: Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan pada Selasa mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk bertanding dalam pemilihan DAP peringkat negeri yang dijadual Ahad ini.
Huan berkata, Guan Eng perlu berani bertanding dalam pemilihan itu bagi membuktikan beliau mendapat sokongan padu daripada anggota DAP di negeri ini, selain menunjukkan lantikannya sebagai ketua menteri dibuat secara sah.
"Dia kena tanding dalam pemilihan DAP peringkat negeri kali ini kerana sehingga kini dia pun tak pernah bertanding dalam pemilihan DAP Pulau Pinang. Dia perlu buktikan dia adalah 'harimau' DAP dan mempunyai sokongan parti itu di Pulau Pinang.
"Ia belum terbukti setakat ini. Dia kena tandinglah...bertanding dan kemudiannya menang baru ada mandat, sekarang dia mana ada mandat sebab dia tak bertanding...yang bertanding adalah (pengerusi DAP negeri) Chow Kon Yeow," katanya pada sidang media di sini, Selasa.
Guan Eng juga tidak bertanding dalam pemilihan DAP negeri pada 2013 yang menyaksikan Chow dilantik sebagai Pengerusi DAP negeri selepas mendapat undian tertinggi sebanyak 621 daripada 661 undi.
Huan berkata, Guan Eng seharusnya merebut peluang bertanding dalam pemilihan kali ini bagi memulihkan imej dan kredibilitinya yang semakin merosot.
Mengambil contoh pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 2012, beliau berkata, Guan Eng mendapat 1,576 undi dan undiannya merosot dalam pemilihan semula CEC pada 2013 dengan hanya memperoleh 1,304 undi, iaitu undian kelima tertinggi.
"Bagaimana anda boleh dapat undian kelima tertinggi kemudian dipilih menjadi setiausaha agung. Sepatutnya mereka yang berada dalam tiga undian teratas yang dipilih menjadi setiausaha agung. 
"Dia patut bertanding dan menjadi Ketua Menteri yang sah yang bukan sahaja mendapat sokongan rakyat tapi daripada DAP. Sokongan DAP terhadapnya sekarang tengah merosot kalau kita ikut kepada pemilihan semula CEC yang lepas," katanya.
Mengulas tindakan lima anggota Dewan Undangan Negeri PKR yang berkecuali sewaktu undian terhadap usul wakil rakyat Barisan Nasional dalam isu tebus guna tanah di Dewan Undangan Negeri Jumaat lepas, Huan berkata, ia menunjukkan wakil rakyat berkenaan mengutamakan kepentingan rakyat daripada politik. - Bernama

No comments:

Post a Comment