ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERSIH 4.0 : POLIS KL TIDAK PERNAH BERI KEBENARAN

Thursday 27 August 2015

BERSIH 4.0 : POLIS KL TIDAK PERNAH BERI KEBENARAN


KUALA LUMPUR - Polis Kuala Lumpur sekali lagi menegaskan tidak pernah memberi kebenaran kepada penganjur Bersih 4.0 untuk mengadakan perhimpunan itu di Kuala Lumpur atau kawasan sekitarnya pada 29 dan 30 Ogos ini.

Sehubungan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa mengingatkan penganjur perhimpunan itu supaya tidak memutar belitkan sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis.

Peringatan daripada polis Kuala Lumpur itu susulan daripada kenyataan yang dikatakan oleh pengerusi perhimpunan itu, Maria Chin Abdullah dalam sebuah portal berita berbahasa Inggeris hari ini.  

"Polis Kuala Lumpur juga menegaskan perhimpunan tersebut adalah perhimpunan menyalahi undang-undang kerana pihak penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti mana yang disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tajudin berkata pada perjumpaan diadakan antara Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan penganjur perhimpunan itu, polis menasihatkan mereka tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya kerana pada 26 hingga 30 Ogos ini berlangsungnya persiapan majlis sambutan Hari Kebangsaan 2015.

Katanya polis Kuala Lumpur bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam di bandar raya ini terjamin.

"Orang ramai dinasihatkan supaya memberi kerjasama dengan tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang di sepanjang tempoh tersebut," katanya.

Sementara itu, carian oleh Bernama berhubung kenyataan yang dikatakan oleh Maria dalam portal berita berkenaan tidak berhasil, sebaliknya paparan menunjukkan bahawa muka surat itu tidak dijumpai.

Maria ketika dihubungi berkata kenyataan yang dikeluarkannya itu mungkin disalah anggap oleh portal berita berkenaan.

"Saya fikir mereka (portal berita berkenaan) tersilap dengar...semua orang menganggap, saya akan menukar tempat (perhimpunan), tetapi tidak, belum lagi," katanya.

Sementara itu, Pemuda Gerakan menggesa penganjur Bersih 4.0 menukar venue perhimpunannya ke sebuah stadium. 

"Adalah tidak bertanggungjawab sekiranya Bersih meneruskan rancangannya untuk mengadakan demonstrasi jalanan yang bersifat politik," kata ketuanya Tan Keng Liang. - Bernama

No comments:

Post a Comment