ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: WAN AZIZAH DICABAR UMUM CALON PM KABINET BAYANGAN

Tuesday 19 May 2015

WAN AZIZAH DICABAR UMUM CALON PM KABINET BAYANGAN

Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim hari ini mencabar PR supaya menamakan calon perdana menteri dalam kabinet bayangan mereka seperti yang diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Shahidan berkata kebiasaannya, perdana menteri dipilih daripada parti yang kuat atau menguasai majoriti dan dalam isu itu, DAP mempunyai bilangan kerusi yang paling banyak dalam pakatan. 
    
"Parti yang majoriti sekarang adalah DAP memiliki 37 kerusi, PKR ada 29 kerusi dan Pas 21 kerusi, jadi sudah pasti DAP yang patut jadi perdana menteri.  

"Atau apakah mahu berikan jawatan itu kepada ketua pembangkang, tetapi jika ketua pembangkang itu datang daripada parti lemah sudah tentu dia tidak mampu menjadi perdana menteri yang kuat," katanya yang ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini.  

Semalam, Wan Azizah dalam satu sidang media berkata PR akan mewujudkan semula kabinet bayangan pembangkang yang bertujuan memperkukuh sistem 'check and balance' (periksa dan imbang). 

Wan Azizah berkata jawatankuasa kabinet bayangan pembangkang untuk setiap kementerian akan diwakili oleh anggota Parlimen PR. 

Bagaimanapun, hari ini cadangan ketua pembangkang itu menerima tamparan hebat apabila Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menolak cadangan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai tidak praktikal. 

Sebaliknya parti itu tampil dengan kabinet bayangannya sendiri, namun tidak menamakan calon perdana menteri yang akan menerajuinya.

Sementara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Pembangkang perlu memenangi pilihan raya umum akan datang terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai barisan kabinet.
   
"Tidak masuk nama saya pun tidak apa, tidak jadi masalah...apa yang penting kita menang, bagaimana nak menyaksikan kemenangan, bukan siapa yang menjadi menteri-menteri," katanya pada program Bicara Harakah di sini.
   
Beliau menjawab soalan media berhubung cadangan mewujudkan semula kabinet bayangan pembangkang itu.
   
Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut menolak cadangan itu.
   
Menyifatkannya tidak praktikal, Lim berkata DAP sebaliknya, memilih untuk menubuhkan kabinet bayangan sendiri dengan mengumumkan senarai 18 portfolio yang akan diisi anggota parlimen daripada parti tersebut.
   
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata portfolio tersebut diberi kepada semua anggota parlimen DAP kecuali beliau yang juga anggota Parlimen Bagan, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

"Kita ada pengalaman dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang...beliau boleh veto, dia boleh tolak (keputusan) sama sekali, beliau boleh buat keputusan sendiri seperti dalam kes hudud yang tiada perbincangan langsung dengan mana-mana pihak, jadi saya rasa cadangan (kabinet bayangan PR) adalah tidak praktikal.
   
"Oleh itu, cadangan itu saya rasa susah dilaksanakan, saya rasa lebih baik kita ada satu kabinet bayangan untuk setiap parti, dan setiap parti akan adakan perbincangan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
   
Lim berkata keputusan mewujudkan kabinet bayangan DAP dibuat setelah perbincangan dengan semua anggota parlimen parti itu minggu lepas, antaranya bertujuan meningkatkan mutu dan kualiti perbahasan serta penggubalan dasar di dalam atau di luar Parlimen.
   
Kabinet bayangan DAP, antara lain menyenaraikan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) bagi portfolio Kewangan dan Ekonomi dengan dibantu Osar Ling Chai Yew (DAP-Sibu) dan Wong Tien Fatt (DAP-Sandakan).

Anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo memegang portfolio Kementerian Dalam Negeri dan Undang-undang, dibantu oleh Ram Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) dan Thomas Su Keng Siong (DAP-Ipoh Timur).
   
Kementerian Luar Negara dan Pertahanan dipertanggungjawabkan kepada M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat), dibantu oleh Julian Tan Kok Ping (DAP-Stampin) dan Kasthuriraani Patto (DAP-Batu Kawan).
   
Lim pada masa sama menegaskan beliau bukan perdana menteri dalam kabinet bayangan itu.
   
"Saya pemimpin parti ini dan saya mahu agihkan tanggungjawab kepada semua ahli parlimen untuk memberikan fokus kepada portfolio yang diberikan," katanya. 
Bernama

No comments:

Post a Comment