ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: RUGI RM100,000 KERANA TALI WAU

Thursday 28 May 2015

RUGI RM100,000 KERANA TALI WAU

Rugi RM100,000 kerana tali wau

KOTA BHARU - Pemain wau di negeri ini dinasihatkan tidak mengganggu kawasan pendaratan pengangkutan udara jika menerbangkan wau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Pengurus Operasi Domestik Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Datuk Jamil Osman berkata, sebagai sebuah syarikat pengangkutan helikopter pesisir pantai bagi industri minyak dan gas antarabangsa, pihaknya memandang serius hal itu kerana ada antara wau yang diterbangkan itu menjadi ancaman keselamatan buat mereka.

“Jika pemain wau menerbangkan wau tradisi di kawasan sekitar zon Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa dan berada dalam jarak lima kilometer di kawasan berkenaan, ia boleh mengganggu juruterbang dan mereka perlu berhati-hati untuk mengelak bertembung dengan tali wau.

“Insiden kemalangan pernah berlaku melibatkan tali wau tersangkut pada kipas helikopter syarikat kami. Dua kali berlaku, menyebabkan kami terpaksa menanggung kerugian RM100,000 atas kerosakan yang dialami,” katanya kepada pemberita selepas sidang media Pertandingan Dikir Barat Wau Bule Selamat Sokmo Tingkat Kesedaran Ancaman Permainan Wau Kepada Helikopter di Sekitar Kawasan Terhad LTSIP, Kota Bharu di sini, semalam.

Hadir sama, Pengurus Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Kamarul Bahri  Mohamad; wakil Weststar Aviation Services Sdn Bhd dan wakil Polis Kelantan.
Jamil berkata, atas kesedaran itulah Weststar termasuk syarikat minyak dan cari gali Hess, Repsol dan Petrofac bekerjasama melancarkan kempen ‘Wau Bule Selamat Sokmo’ sebagai platform meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perkara tersebut.

“Diharap, dengan kempen yang dianjurkan melalui pertandingan dikir barat pada Pesta Wau Kelantan kali ke-33, kelmarin dan semalam, mesej disampaikan mencapai matlamat.

“Peminat wau juga diharap ambil iktibar dan tingkatkan kesedaran mereka," katanya.

Dalam pada itu, Jamil berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), penggawa dan penghulu kampung bagi menyampaikan kempen bahaya aktiviti bermain wau tradisional di sekitar zon lapangan terbang.
SH

No comments:

Post a Comment