ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DAP TIDAK SEWAJARNYA SALAHKAN HADI - MAHFUZ OMAR

Tuesday 24 March 2015

DAP TIDAK SEWAJARNYA SALAHKAN HADI - MAHFUZ OMAR


KUALA LUMPUR - Pucuk pimpinan DAP tidak sewajarnya membangkitkan semula perbalahan antara mereka dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam krisis menteri besar Selangor pada tahun lalu.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun DAP tidak berpuas hati dengan mana-mana pemimpin Pas, namun sepatutnya parti itu berjiwa besar untuk mendepani perbezaan pendapat antara mereka.

"Bagi saya barisan di hadapan DAP adalah pemimpin senior, yang mempunyai pengalaman yang lama dalam politik.

"Jadi sepatutnya mereka berjiwa sebagai negarawan yang bersedia untuk berhubungan dengan semua orang walaupun kita ada sedikit perbezaan tertentu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini yang menggesa Abdul Hadi meninggalkan PR susulan beberapa tindakannya mengenai undang-undang hudud dan Rang Undang-undang Persendirian (RUU) telah membelakangi keputusan Majlis Pimpinan PR.

Tambah Mahfuz lagi, pendirian Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semalam yang memutuskan untuk menghentikan kerjasama dengan Abdul Hadi itu juga bercanggah dengan prinsip bersama dalam PR.

"Saya fikir ia sudah bercanggah dengan prinsip bersama kita, Majlis Pimpinan PR ini mesti diwakili oleh pimpinan tertinggi parti," ujarnya.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pas berkata, beliau akan meminta Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali menetapkan mesyuarat khas berhubung pendirian DAP itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad pula menyifatkan pendirian CEC DAP yang disuarakan Guan Eng itu adalah masalah peribadi antara Abdul Hadi dan parti itu.

"Ia masalah dengan personaliti dan perlu lihat bagaimana ia akan ditangani," katanya.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, tiada keperluan untuk menyingkirkan Abdul Hadi kerana DAP boleh bekerjasama dengan pemimpin Pas selain Abdul Hadi

"Pas dengan presiden bukan satu. Pas ialah Pas dan presiden ialah presiden," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment