ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ALONG PAKSA MANGSA LACUR DIRI UNTUK BAYAR PINJAMAN

Saturday 7 March 2015

ALONG PAKSA MANGSA LACUR DIRI UNTUK BAYAR PINJAMAN


Peminjam wang tidak berlesen atau Along sanggup melakukan apa sahaja termasuk menjadikan mangsa sebagai pelacur untuk mendapatkan balik wang mereka.

Mangsa yang tidak mempunyai wang untuk membayar balik pinjaman diminta melakukan khidmat seks di rumah pelacuran sebagai gantian untuk membayar balik hutang mereka.

Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) Samsudin Mohamad Fauzi berkata, sepanjang tahun lepas, PKP menerima tiga aduan berbeza daripada wanita berumur awal 30 tahun, yang ditawarkan kaedah pembayaran tersebut.

"Mangsa yang ketakutan tanpa berfikir panjang bersetuju menjual kehormatan mereka sebagai tukaran untuk membayar hutang kepada Along.

"Mereka memberitahu PKP menerima panggilan daripada sebuah rumah pelacuran tidak sampai 15 minit selepas bersetuju dengan tawaran Along," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Samsudin berkata, bagaimanapun mangsa terselamat apabila PKP membantu mereka membuat aduan kepada polis pada hari yang sama.

"Kami segera membawa mangsa membuat laporan polis bagi mendapat perlindungan daripada ancaman Along," katanya.

Beliau berkata, PKP berharap mangsa tidak mengikut bulat-bulat permintaan daripada Along.

"Along juga manusia biasa dan negara kita mempunyai undang-undang jadi orang ramai tidak perlu rasa takut dengan mereka.

"Saya nasihatkan kepada orang ramai yang berhajat untuk melakukan pinjaman dengan Along sama ada mengguna nama sendiri atau nama isteri agar mencari kaedah lain bagi menyelesaikan masalah kewangan mereka.

"Fikir dua kali sebelum membuat pinjaman dengan Along kerana ia boleh diibaratkan sebagai 'keluar dari mulut singa dan masuk ke mulut naga'," katanya.

No comments:

Post a Comment