ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: (7 GAMBAR) GUDANG BEKALAN MKN KELANTAN MUSNAH TERBAKAR

Sunday 8 March 2015

(7 GAMBAR) GUDANG BEKALAN MKN KELANTAN MUSNAH TERBAKAR


KOTA BAHARU: Sebuah pusat penyimpanan bekalan pasca banjir milik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, musnah dalam satu kebakaran hari ini. 

Bekalan yang musnah membabitkan lebih 300 tan beras, khemah serta pelbagai barangan keperluan lain yang akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 mangsa banjir di negeri ini. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba II Husin Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.15 petang dan tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian. 

"Kami dapat mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit dan kebakaran membabitkan bahan getah, kita terpaksa menggunakan buih untuk memadamkan api," katanya ditemui di lokasi kejadian. 

Katanya, lapan jentera dengan kekuatan 60 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran itu.

Beliau berkata pihaknya dapat mengawal kebakaran daripada merebak ke dua buah bangunan berhampiran iaitu Asrama Klinik Cure & Care 1Malaysia Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE). 

"Punca serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan manakala tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya. 

Sementara itu, Setiausaha MKN Kelantan Azhar Mohd Yusuf berkata terdapat lebih 300 tan beras, khemah serta pelbagai barangan keperluan di pusat penyimpanan itu yang akan diagihkan kepada kira-kira 87,000 mangsa banjir di negeri itu.

"Barangan ini disumbangkan kerajaan Thailand serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bakal diagihkan kepada penerima bersama wang ihsan sebanyak RM500," katanya. 

Beliau berkata kerja-kerja pengagihan barangan sudah bermula sejak 31 Januari lalu dan dijangka berakhir penghujung bulan ini. 

"Setakat ini kita sudah agihkan kepada kira-kira 19,000 penerima di sekitar Jeli, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Tumpat dan Gua Musang.

"Kita kesal kerana tidak dapat teruskan rancangan MKN untuk mengagihkan barangan ini bersama wang ihsan kepada mangsa yang belum menerimanya," katanya. - BERNAMA





No comments:

Post a Comment