ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRK DUN CHEMPAKA :CADANGAN BN TIDAK BERTANDING SATU PENGHORMATAN KEPADA ALLAHYARHAM TGNA

Monday 16 February 2015

PRK DUN CHEMPAKA :CADANGAN BN TIDAK BERTANDING SATU PENGHORMATAN KEPADA ALLAHYARHAM TGNA

Tuan Ibrahim Tuan Man

SHAH ALAM – Pas menyambut baik cadangan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed supaya BN tidak meletakkan calon di Dun Chempaka selepas penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada malam Khamis lalu.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun cadangan yang dikemukakan oleh Mustapa hanya pendapat peribadi beliau, namun ia adalah satu bentuk penghormatan terhadap Allahyarham.

“Saya ada membaca kenyataan Mustapa dan walaupun beliau belum membuat sebarang perbincangan dengan Umno Bahagian Pengkalan Chepa, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, walaupun perkara berkenaan belum diputuskan sepenuhnya oleh Umno, namun Pas bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam PRK Dun Chempaka.

“Kalau ikutkan sejarah, Umno pernah tidak meletakkan calon dalam beberapa siri PRK sebelum ini dan mungkin mereka (Umno) tidak meletakkan calon di sini (Dun Chempaka).

“Namun begitu Pas perlu bersiap sedia sekiranya wujud pihak lain atau calon Bebas yang mahu bertanding di Dun berkenaan,” katanya.

Mustapa kelmarin mencadangkan BN tidak perlu meletakkan calon dalam PRK Dun Chempaka sebaliknya menumpukan lebih perhatian kepada kerja-kerja pemulihan pascabanjir di Kelantan.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar ketika dihubungi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mustapa kerana telah mengeluarkan cadangannya itu.

“Saya juga bersetuju dengan Mustapa mengenai pandangan beliau sekiranya PRK dijalankan akan menyebabkan banyak berlaku pergeseran antara parti,” katanya.

Selain itu, Mahfuz turut mencadangkan BN tidak meletakkan calon di PRK Permatang Pauh selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Seorang lagi pemimpin Pas iaitu Setiausaha Agung parti itu, Datuk Mustafa Ali turut mengalu-alukan saranan Mustapa supaya BN tidak meletakkan calon di Dun Chempaka.

“Jika benar perkara ini, Pas anggapnya sebagai satu penghormatan kepada Tok Guru,” katanya. – Sinar

No comments:

Post a Comment