ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS KELANTAN TERKILAN TARIKH PRK CHEMPAKA JATUH HARI PERSIDANGAN DUN

Wednesday 18 February 2015

PAS KELANTAN TERKILAN TARIKH PRK CHEMPAKA JATUH HARI PERSIDANGAN DUN

PAS Kelantan terkilan tarikh PRK Chempaka jatuh hari persidangan DUN

KOTA BHARU: Pas Kelantan melahirkan kekesalan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka jatuh pada hari persidangan Dun negeri.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, SPR sepatutnya terlebih dahulu bertanyakan program yang berlangsung sebelum menetapkan tarikh PRK berkenaan.

"Sidang DUN dijangka bermula pada 16 sehingga 19 Mac depan.

"Kita terkilan kerana tarikh itu terlalu dekat dengan sidang DUN. Sepatutnya SPR tanya khabar dahulu dan tidak menetapkan tarikh yang mengganggu perjalanan sidang...kita sangat terkilan," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan.

Bagaimanapun kata Mohd Amar, sidang Dun tetap akan diteruskan walaupun PRK diadakan pada masa berkenaan.

Dalam pada itu ketika ditanya calon Pas yang akan ditampilkan di Chempaka, Mohd Amar menjelaskan;

"Kita mempunyai ramai calon yang boleh ditampilkan di kerusi itu.

"Bagaimanapun kita masih belum buat apa-apa keputusan lagi. Kita akan muktamadkan calon sebelum tarikh penamaan."

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Kelantan menjelaskan, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan jentera parti bagi melakukan persiapan PRK.

"Kita juga akan menunggu tarikh penamaan calon sama ada Umno benar-benar mahu mengotakan janjinya untuk tidak meletakkan calon di sana," ujarnya.

SPR pada Rabu menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh penamaan calon manakala 22 Mac nanti sebagai tarikh pengundian bagi PRK Dun Chempaka.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.
AstroAwani

No comments:

Post a Comment