ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MANGSA BANJIR KELANTAN TERUS MENINGKAT

Sunday 21 December 2014

MANGSA BANJIR KELANTAN TERUS MENINGKAT


Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung masih belum reda dengan lapan jajahan di Kelantan semakin buruk apabila jumlah mangsa banjir meningkat kepada 21,328 pagi ini berbanding 19,186 orang malam tadi.

Di KOTA BHARU, menurut portal banjir kerajaan negeri, kesemua mangsa banjir daripada 6,933 keluarga itu ditempatkan di 84 pusat pemindahan dengan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah terbesar mangsa iaitu 12,008 orang yang ditempatkan di 35 pusat pemindahan berbanding 11,079 orang malam tadi.

Di Tumpat, jumlah mangsa juga terus bertambah kepada 5,229 orang yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan berbanding 3,861 orang sebelum ini.

Pertambahan jumlah mangsa banjir itu berikutan limpahan air Sungai Golok, Rantau Panjang yang kini mencatat bacaan 10.27 meter melepasi paras bahaya 9 meter.

Keadaan cuaca yang mendung disusuli sesekali hujan lebat masih berlaku terutama di kawasan pedalaman negeri ini.

Jumlah mangsa yang dipindahkan di Kuala Krai berkurangan kepada 1,928 orang yang ditempatkan di lapan buah pusat berbanding 2,452 orang sebelum ini.

Di Pasir Puteh pula, 619 orang ditempatkan di empat pusat pemindahan, Tanah Merah (619 orang/14 pusat pemindahan), Kota Baharu (336 orang/empat pusat pemindahan) dan Jeli (216 orang/empat pusat pemindahan), menurut portal itu.

Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan jumlah yang terkorban akibat banjir gelombang kedua di negeri ini sejak 16 Disember lalu masih kekal empat orang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman mengingatkan penduduk supaya mematuhi arahan agar berpindah sekiranya kawasan penempatan mereka mengalami banjir.

Beliau juga turut mengingatkan penduduk terutama kanak-kanak agar tidak ermain banjir bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit apabila 860 orang di beberapa daerah mengambil kesempatan pulang ke rumah masing-masing selepas air di kawasan kediaman mereka surut semalam.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, dengan perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah mangsa yang kini masih berada di 100 pusat pemindahan menurun kepada 6,746 orang berbanding 7,508 malam tadi.

Bagaimanapun, Besut masih lagi menjadi kawasan paling terjejas dengan jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,459 daripada 736 keluarga, diikuti Dungun 2,281 orang (608 keluarga) dan Kemaman 1,295 orang (345 keluarga), Hulu Terengganu 429 orang (123 keluarga), Setiu 124 orang (30 keluarga), Kuala Terengganu 118 orang (28 keluarga) dan Marang 40 orang (12 keluarga).

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaporkan keadaan paras air di beberapa batang sungai utama di Terengganu melepasi paras amaran. Di Besut, paras air di Jambatan Permaisuri mencatat bacaan 8.74 meter, melepasi paras amaran 8.2 meter dan menghampiri paras bahaya 8.8 meter.

Malah paras air Sungai Marang di Kampung Pengkalan Berangan juga meningkat kepada 2.34 meter, melepasi paras amaran 2.3 meter, Sungai Setiu di Kampung Langkap (22.07m) melepasi paras amaran 21.5 meter, Sungai Berang di Kuala Ping (19.90m) melepasi paras amaran 19.3 meter dan menghampiri paras bahaya 20 meter.

Katanya, beberapa batang sungai yang lain kini berada dalam tahap waspada dan orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati memandangkan hujan lebat di kawasan pedalaman.
 BERNAMA

No comments:

Post a Comment