ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KEADAAN TERKINI BANJIR DI 3 NEGERI PANTAI TIMUR

Saturday 20 December 2014

KEADAAN TERKINI BANJIR DI 3 NEGERI PANTAI TIMUR

KOTA BARU, Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 19,715 orang tengah hari Sabtu berbanding 18,812 orang pagi Sabtu berikutan pertambahan mangsa banjir di jajahan Tumpat.

Menurut portal banjir kerajaan negeri pada pukul 12 tengah hari Sabtu, keadaan itu berikutan limpahan air Sungai Golok yang masih melepasi paras bahaya.

Keseluruhan pusat pemindahan di tujuh jajahan iaitu Pasir Mas, Tumpat, Kuala Krai, Kota Baharu, Machang, Pasir Puteh dan Tanah Merah, kini bertambah kepada 86 berbanding 83 pagi tadi.

Jajahan Pasir Mas masih menempatkan jumlah terbesar mangsa banjir dengan 11,156 orang tengah hari ini berbanding 10,599 orang pagi tadi, yang ditempatkan di 37 pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir di Jajahan Tumpat pula meningkat kepada 3,310 orang tengah hari ini berbanding 3,115 pagi tadi, yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir di Kuala Krai meningkat kepada 3,035 orang tengah hari ini berbanding 2,865 orang pagi tadi. Kesemuanya ditempatkan di 12 pusat pemindahan.

Di Kota Baharu, 761 mangsa banjir ditempatkan di enam pusat pemindahan, Pasir Puteh (603 orang/empat pusat pemindahan), Tanah Merah (461 orang/11 pusat pemindahan) dan Machang (389 orang/lapan pusat pemindahan).

Cuaca yang agak baik sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di beberapa batang sungai utama terus menyusut kecuali Sungai Golok di Rantau Panjang yang mencatat bacaan 10.28 meter melepasi paras bahaya 9 meter.

Sejak banjir gelombang kedua melanda Kelantan pada 16 Dis lalu, empat kematian akibat banjir direkodkan iaitu masing-masing di Tanah Merah, Tumpat, Kuala Krai dan Kota Baharu.

Cuaca di Kelantan pada tengah hari Sabtu mendung dengan hujan renyai.

Terengganu, banjir, hujan, tengkujuh, rakyatnews, berita

Di KUANTAN, jumlah mangsa banjir di daerah ini pagi ini menurun kepada 1,449 orang membabitkan 408 keluarga berbanding 1,601 orang pada lewat malam malam tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berkata, tujuh pusat penempatan banjir masih dibuka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pandan, Sekolah Kebangsaan (SK) Fakeh Samad, Dewan Orang Ramai Seri Damai, SMK Gudang Rasau, Pusat Bina Insan Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Kampung Semangat dan Balai Raya Kampung Sungai Soi.

"Jumlah mangsa di pusat pemindahan SMK Pandan paling tertinggi iaitu seramai 893 mangsa membabitkan 238 keluarga.

"Di SK Fakeh Samad, ia menempatkan seramai 233 mangsa membabitkan 45 keluarga, SMK Gudang Rasau (175 mangsa, 79 keluarga), Pusat Bina Insan Jaya Gading (48 mangsa, 12 keluarga), Dewan Orang Ramai Kampung Selamat (lima mangsa, dua keluarga), Dewan Orang Ramai Seri Damai (91 mangsa, 31 keluarga) dan Balai Raya Kampung Sungai Soi (empat mangsa, satu keluarga)," katanya di sini, sebentar tadi.

Sementara itu di TERENGGANU, Daerah Besut kekal daerah paling teruk dilanda banjir di negeri ini apabila mencatatkan bilangan mangsa paling ramai yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

Mengikut jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, setakat pada jam 9.30 pagi ini, 8,613 mangsa membabitkan 2,507 keluarga berada 122 pusat pemindahan di seluruh negeri ini.

Daerah Besut mencatatkan paling teruk dilanda bencana itu apabila seramai 3,257 mangsa daripada 1023 keluarga dipindahkan ke 45 pusat pemindahan.

Daerah Dungun, seramai 2,231 mangsa membabitkan 576 keluarga ditempatkan di 30 pusat pemindahan manakala di Kemaman, seramai 1,925 mangsa daripada 519 keluarga berada di 18 pusat pemindahan.

Selain itu, seramai 964 mangsa membabitkan 301 keluarga ditempatkan di 15 pusat pemindahan di Hulu Terengganu dan 271 mangsa daripada 70 keluarga berpindah ke 10 pusat pemindahan bagi daerah Setiu.

No comments:

Post a Comment