ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU MB SELANGOR : PAS TIDAK ENDAH RAYUAN ANWAR !!!

Friday 29 August 2014

ISU MB SELANGOR : PAS TIDAK ENDAH RAYUAN ANWAR !!!


SHAH ALAM – Pas tidak mengendahkan rayuan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tetap bertegas parti itu akan mengemukakan tiga nama kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diperkenankan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

 Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu akur dengan titah Sultan Selangor yang mahukan pemimpin Pas, PKR dan DAP mencadangkan lebih daripada dua nama bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Sebagai pemimpin Islam dan Melayu, kita tidak mahu Pas dilabel sebagai tidak beradab (kepada tuanku),  dengan hanya menghantar satu nama. Seolah-olah kita memaksa sultan buat pilihan.

“Sebagai orang Melayu, perbuatan itu tidak manis. Lagipun tiada salahnya Pas menghantar tiga nama demi menjaga adab dengan tuanku Sultan Selangor,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahan pula, katanya, kesediaan Pas mencalonkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail untuk jawatan tersebut, boleh dilihat sebagai tanda penghormatan kepada PKR.

Menurut Mustafa, bukan niat Pas ingkar permintaan Anwar yang mahu Pas menghormati keputusan Majlis Kepimpinan PR pada 17 Ogos, di mana setiap parti menghantar satu nama sebagai Menteri Besar Selangor.

“Setiap parti ada pandangan mereka sendiri dan ini pandangan Pas (berkenaan senarai nama calon menteri besar). Lagipun kita menghantar nama Adun PKR, bukannya Pas.

“Terpulang kepada kebijaksanaan dan budi bicara baginda untuk buat pilihan. Pas tetap merasakan tidak salah menghantar lebih daripada satu nama kepada tuanku,” katanya.

Pas bagaimanapun difahamkan belum menghantar surat berkenaan nama Adun PKR kepada pihak istana, namun akan berbuat demikian sebelum 3 September ini.

“Kita tidak boleh beritahu nama yang dibincangkan...tunggulah nanti,” kata Mustafa ketika ditanyakan perkara itu.

Kelmarin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang iaitu Pas, DAP dan PKR masing-masing mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor baharu bagi memudahkan baginda menentukan calon berkelayakan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Samad berkata, pihaknya tidak boleh memberi apa-apa komen mengenai nama calon kerana keputusan akan dibuat Pas Pusat.

“Saya tidak tahu nama siapa yang akan diberi setiausaha agung untuk calon menteri besar.

“Pas Pusat selepas ini akan mengadakan mesyuarat bagi menentukan calon menteri besar, tetapi bila pengumuman itu dibuat, yang pasti sebelum 3 September.

“Pasal Wan Azizah pun saya tidak tahu, saya tidak boleh cakap apa-apa mengenai Azizah,” katanya.

No comments:

Post a Comment