ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LELAKI SAMUN JURUJUAL 'ONLINE' DITAHAN !!!

Wednesday 23 July 2014

LELAKI SAMUN JURUJUAL 'ONLINE' DITAHAN !!!


KOTA BHARU - Kegiatan dua lelaki yang berpura-pura membuat pembelian secara 'online' dan kemudian menyamun mangsa ketika pertemuan pertama, akhirnya lumpuh apabila seorang daripada mereka berjaya ditahan polis.

Suspek berusia 31 tahun berasal dari Pasir Mas ditahan ketika sedang menunggu mangsa ke-11nya di kawasan Taman Uda Murni, di sini, pada jam 1 pagi, 20 Julai 2014.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya bertindak selepas menerima laporan daripada seorang mangsa lelaki berusia 21 tahun yang mendakwa disamun suspek ketika membuat urusan jual beli telefon bimbit miliknya.

“Mangsa sebelum itu mengiklankan untuk menjual telefon bimbit kepunyaannya di internet menerusi sebuah laman web jual beli. Dia kemudian pergi ke Bank Simpanan Nasional (BSN) Pekan Melor, di sini dengan tujuan berjumpa dengan pembeli yang menghubungi mangsa.

“Dalam urusan tersebut, pembeli iaitu suspek bersetuju untuk membeli telefon mangsa dan menyerahkan satu sampul bertulis RM800 kepada mangsa. Mangsa kemudian menyerahkan telefon berjenama Samsung Galaxy S4 kepada suspek,” katanya.

Mazlan berkata, bagaimanapun, ketika mangsa hendak membuka sampul tersebut bagi mengira wang, suspek mengeluarkan senjata dipercayai sepucuk pistol dan memaksa mangsa menyerahkan kesemua barangan berharga dan wang miliknya.

“Mangsa yang ketakutan kemudian memberikan beg berisi kad pengenalan; lesen memandu; kad ATM, cukai jalan dan dua telefon bimbit jenama LG Nexus 4 dan Samsung Galaxy S4,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati suspek sudah melakukan 10 kes samun iaitu sembilan di Kota Bharu dan satu di Pasir Mas dengan hasil rompakan sekitar RM3,000 hingga RM5,000.

“Suspek menggunakan modus operandi yang sama ke atas semua mangsa-mangsanya dan memilih lokasi-lokasi sunyi bagi mengadakan pertemuan sebelum menyamun semua barang berharga milik mangsa.

“Mereka menjalankan kegiatan dengan menggunakan sebuah motosikal jenis Kawasaki. Kini, suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kerana memiliki senjata tiruan, manakala rakannya yang berusia 20 masih diburu polis,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment