ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ISU MB SELANGOR : NIK AZIZ SOKONG KENYATAAN HADI AWANG

Sunday 27 July 2014

ISU MB SELANGOR : NIK AZIZ SOKONG KENYATAAN HADI AWANG

Tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nampaknya disokong oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Media tempatan melaporkan Nik Abdul Aziz secara terbuka menyatakan sokongan kepada kenyataan Abdul Hadi yang mahukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai Menteri Besar Selangor.
Beliau juga turut hairan kenapa Abdul Khalid mahu digugurkan sedangkan beliau mempamerkan prestasi baik dalam mentadbir negeri Selangor sebelum ini.
“Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar?
“Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi menteri besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan.
“Sudah tentu persoalan yang berlegar, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam yang dipetik oleh laman web Astro Awani.
Menurut Nik Aziz kemelut pertukaran Menteri Besar ini perlu diselesaikan segera melalui cara yang terbaik itu rundingan.
“Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti.
“Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai,” katanya.
Beliau juga mengingatkan pemimpin dan ahli supaya meletakkan keutamaan kepada apa yang dinyatakan oleh Abdul Hadi.
“PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan.
“Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini. Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden.
“Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik,” katanya lagi.
Sejak kebelakangan ini, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat begitu beriya-iya melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap kepimpinan Abdul Khalid dan mahu menggugurkannya sebagai Menteri Besar.
Selepas isterinya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak lama dulu, kini Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu diletakkan sebagai pemimpin negeri Selangor.
MYNEWSHUB.MY

No comments:

Post a Comment