ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 3 BERANAK MAUT NAHAS KETIKA PULANG BERHARI RAYA

Sunday 27 July 2014

3 BERANAK MAUT NAHAS KETIKA PULANG BERHARI RAYA


IPOH – Seorang bayi berusia 10 bulan bergelar yatim piatu setelah kedua ibu bapanya serta kakak berusia tiga tahun maut dalam nahas membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Km 40 Jalan Raya Timur Barat, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Beharum berkata bayi itu, Nur Umairah Uzma Farizul, turut cedera dalam nahas tersebut dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini.

Kejadian pukul 2.40 pagi itu meragut nyawa pasangan suami isteri Farizul Ahmad, 29; dan Suraida Che Hashim, 29; serta seorang lagi anak mereka Nur Fatiha Uzma, 3, katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mengulas nahas itu, Abdul Manab berkata keluarga terbabit dalam perjalanan pulang ke Terengganu untuk menyambut Aidilfitri apabila kereta yang dipandu Farizul bertembung dengan bas ekspres di laluan bertentangan.

“Kereta Proton Pesona yang dipandu Farizul mahu memotong kenderaan di hadapannya namun tidak sempat kembali ke laluan asal lalu bertembung dengan bas yang membawa beberapa penumpang,” katanya.

Beliau berkata kejadian menyebabkan Farizul dan Nur Fatiha yang duduk di dalam kerusi bayi di tempat duduk hadapan tersepit selepas kereta mereka terperosok di bawah bas.

Pihak bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurut Abdul Manab pasangan suami isteri itu merupakan warga kerja imigresen yang bertugas di Depoh Tahanan Sik, Kedah dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke Felda Jerangau, Ajil, Terengganu. 
BERNAMA

No comments:

Post a Comment