ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: GURU DIJANJI RM22JUTA HASIL LABUR RM32,160

Saturday 31 May 2014

GURU DIJANJI RM22JUTA HASIL LABUR RM32,160



Kuala Lumpur: Seorang guru sekolah menengah nyaris ditipu sindiket ‘Black Money’ yang menjanjikan pulangan lumayan mencecah AS$7 juta (RM22 juta) dengan hanya bermodalkan AS$10,000 (RM32,160).

Mangsa yang pada mulanya berminat dengan tawaran lumayan itu, diajak seorang rakannya untuk bertemu dengan dua lelaki lelaki Afrika di sebuah restoran di Taman Tun Dr Ismail, 19 Mei lalu. 

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon, berkata mangsa dan rakannya kemudian dibawa ke sebuah hotel di Bukit Damansara dan suspek kemudian mengeluarkan dua beg berisi peti khas mengandungi bahan kimia dan sejumlah wang dolar Amerika yang masih belum ‘dicuci’ berjumlah AS$7 juta.

“Suspek kemudian membuat demonstrasi cara-cara mencuci wang dolar Amerika menggunakan bahan kimia khas itu dan kemudian meminta mangsa memberi AS$10,000 sebagai modal mereka membeli bahan kimia untuk ‘mencuci’ wang itu.



Setuju buat pembayaran

“Mangsa bersetuju dan menetapkan satu tarikh lain untuk membuat pembayaran. Bagaimanapun, dia mula berasa curiga dengan tawaran itu sebelum memutuskan untuk membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kuala Lumpur melakukan dua serbuan berasingan di sebuah kondominium mewah di Damansara Heights dan sebuah rumah di Damansara. 

“Menerusi serbuan itu, kita menahan tiga suspek berusia antara 42 hingga 48 tahun membabitkan dua lelaki warga asing berasal dari Cameroon dan Chad serta seorang wanita tempatan.

“Kita turut merampas 45 ikat kertas bersaiz wang RM50, 99 keping logam keemasan bertulis 99.9 dalam bentuk bar emas, serta satu kotak mengandungi 18 ikat wang AS$100 yang disyaki palsu,” katanya.

Katanya, sindiket terbabit dikesan mula menjalankan kegiatan penipuan itu sejak tiga bulan lalu selain turut dipercayai melakukan penipuan membabitkan pelaburan emas.

Beliau berkata, sepanjang tahun 2012 pihaknya berjaya menumpaskan enam kes penipuan Black Money membabitkan kerugian kira-kira RM286,000 manakala lapan kes pada 2013 dengan kerugian membabitkan RM1.8 juta.

No comments:

Post a Comment