ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 35 PUSAT MENGUNDI PARLIMEN TELUK INTAN DIBUKA MULAI 8 PAGI

Saturday 31 May 2014

35 PUSAT MENGUNDI PARLIMEN TELUK INTAN DIBUKA MULAI 8 PAGI


TELUK INTAN: Sebanyak 35 pusat mengundi di kawasan Parlimen Teluk Intan dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 59,927 pemilih berdaftar melaksanakan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil itu. 

Parlimen Teluk Intan mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pasir Berdamar dan Changkat Jong. Terdapat 17 pusat mengundi di DUN Pasir Berdamar dan 18 di DUN Changkat Jong. 

Antara pusat mengundi itu ialah Sekoleh Jenis Kebangsaan Cina San Ming 1 & 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Sungai Timah, Sekolah Kebangsaan Kampung Bahagia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz. 

Semua 34 pusat pengundian akan ditutup 5 petang ini dan pengiraan undi dijangka bermula 6.30 petang di pusat penjumlahan undi rasmi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib, di sini. 

Hanya Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Sungai Timah ditutup pada jam 4 petang. 

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan DAP. 

BN diwakili Presiden GERAKAN, Datuk Mah Siew Keong manakala DAP diwakili setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud. 

Kerusi Teluk Intan kosong berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lalu. 

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu, Seah menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Mah Siew Keong dan calon Bebas, Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi. 

Keputusan penuh pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan dijangka diketahui seawal 9 malam ini. 

Pada pengundian awal 27 Mei lalu, sebanyak 95.61 peratus atau 392 daripada 410 pengundi keluar mengundi.
Bernama

No comments:

Post a Comment