ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENAMBAHBAIKKAN PBS KURANGKAN BEBAN GURU & PT3 GANTI PMR - MUHYIDDIN

Tuesday 18 March 2014

PENAMBAHBAIKKAN PBS KURANGKAN BEBAN GURU & PT3 GANTI PMR - MUHYIDDIN


KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) mulai tahun ini.

Menerusi pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada 1 April ini, tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah, katanya.

“(Akan) Ada bentuk penilaian di peringkat sekolah. PT3 ini akan digunakan sebagai asas untuk menentukan kemasukan murid-murid ke tingkatan 4 sama ada di Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) termasuk Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan Kolej Vokasional.

“Di samping PT3, kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan Ujian Psikometrik bagi memastikan pemilihan dan penempatan murid bersesuaian dengan kemampuan dan minat mereka,” jelas beliau.

Muhyidddin yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang media khas yang turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata pihak sekolah akan memaklumkan keputusan penilaian prestasi seseorang murid pada akhir tahun hasil pentaksiran yang dibuat dan murid itu boleh mohon slip keputusan untuk ke mana-mana sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin berkata PT3 bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris akan dilaksanakan dengan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis dan ujian lisan.

“Mata pelajaran Sains, Matematik, Pendidikan Islam, Kemahiran Hidup, Bahasa Arab, Cina, Tamil, Iban dan Kadazandusun akan menggunakan instrumen pentaksiran ujian bertulis sahaja.

“Mata pelajaran Sejarah dan Geografi pula akan ditaksir menggunakan pelbagai instrumen seperti tugasan bertulis, ujian amali, projek, kajian lapangan atau kajian kes,” katanya.

Beliau berkata melalui PT3, pihak sekolah akan mentadbir, mentaksir dan memberi skor terhadap pentaksiran itu berpandukan instrumen dan panduan peraturan penskoran yang ketara disediakan oleh Lembaga Peperiksaan (LP).

LP dan pentaksir luar yang dilantik oleh LP akan melaksanakan moderasi dan verifikasi sebelum pelaporan dikeluarkan, jelas beliau.
BERNAMA

Penambahbaikan PBS kurangkan beban guru

Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan mengumumkan tiga penambahbaikan berhubung Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dijangka mengurangkan sehingga 80 peratus bebanan guru berkuatkuasa 1 April ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia meliputi penetapan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang dipermudah menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid serta pemansuhan Fail Perkembangan Murid, Rekod Transit dan Sistem Pengurusan PBS (SPPBS).
"Dengan penambahbaikan ini, guru boleh merekodkan tahap penguasaan murid mengikut kesesuaian masa dan kaedah mereka sendiri secara offline.
"Malah guru boleh kekal fokus terhadap pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu mengisi data penguasaan murid menerusi SPPBS secara dalam talian seperti sebelum ini," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau turut mengumumkan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan 3 yang akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) untuk dilaksanakan di peringkat sekolah.
Ini bermakna tiada lagi peperiksaan berpusat untuk pelajar Tingkatan 3 seperti PMR namun PT3 masih berpandukan panduan pemarkahan setara yang disediakan pihak Lembaga Peperiksaan.

No comments:

Post a Comment