ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AZMIN ALI KENA TOLAK SANDIWARA ANWAR.

Monday 31 March 2014

AZMIN ALI KENA TOLAK SANDIWARA ANWAR.


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali perlu segera sedar dengan menolak sandiwara kotor yang cuba diwayangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dalam pemilihan parti itu Mei ini.

Hal demikian kerana tindakan Anwar bertanding jawatan Presiden PKR dilihat sebagai taktik licik menyekat Azmin daripada mencabar Wan Azizah memandangkan dalam apa jua keadaan sekalipun, 'insurans politik' terbaik Ketua Pembangkang itu ialah isterinya dan bukan Ahli Parlimen Gombak tersebut.

Bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, walaupun Azmin dianggap banyak pihak sebagai anak emas Anwar tetapi sebenarnya Wan Azizah lebih boleh dipercayai.

"Apa pun saya sebenarnya bersimpati dengan nasib Azmin. Sudahlah impian beliau untuk menjadi Menteri Besar Selangor terbantut akibat mainan politik licik Anwar, sekarang harapan mencabar Wan Azizah turut terhalang sekali lagi kerana mainan licik sandiwara politik Anwar.

"Saya cukup yakin Anwar akan memberitahu Azmin, kamu lawan Khalid (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim), biar saya berdepan dengan Wan Azizah. Tapi sebenarnya Anwar tidak mahu kedudukan Wan Azizah dicabar Azmin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, PKR mengesahkan pemilihan parti itu Mei ini akan menyaksikan 'pertarungan' antara Anwar dan Wan Azizah bagi merebut jawatan Presiden sehingga menimbulkan pelbagai persoalan apakah benar-benar berlaku atau sekadar satu lagi sandiwara politik.

Bagi kerusi Timbalan Presiden PKR pula, Azmin yang dianggap tidak sehaluan dengan Wan Azizah bakal berdepan cabaran sengit Abdul Khalid dan empat calon lain iaitu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution; K. Ramachandran serta S. Murali.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menjangkakan Anwar akan mengheret Kementerian Dalam Negeri dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dalam sandiwara politik ciptaannya itu dengan menuduh wujudnya cubaan untuk menghalang demokrasi dalam PKR.

"Anwar tahu dia tidak layak bertanding kerana dihukum penjara lima tahun akibat kesalahan meliwat dan beliau menjangka ROS akan buat kenyataan berhubung kelayakannya itu. Jika itu berlaku, Anwar akan segera ambil peluang dan menuduh Barisan Nasional (BN) zalim.

"Sebab itu saya berharap Kementerian Dalam Negeri dan ROS tidak akan terheret dalam sandiwara politik ini kerana sememangnya itu yang diharapkan Anwar, biar rakyat sendiri yang menilai dan menghukum PKR kerana saya percaya pengundi sudah cukup matang," ujarnya.

Sementara itu, Zulkifli meminta Karpal Singh yang baharu sahaja melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi DAP selepas didapati bersalah oleh mahkamah dan dihukum denda RM4,000 agar menasihati Anwar supaya tidak bertanding menentang isterinya sendiri.

"Ini kerana kedudukan Karpal dan Anwar adalah sama. Anwar sendiri disabitkan dengan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhary Azlan dan dihukum penjara. Kalau Karpal lepas jawatan sepatutnya Anwar juga tidak bertanding jawatan Presiden," katanya.
Utusan Online

No comments:

Post a Comment