ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TAHLIL GANTI MAJLIS HARI JADI !!!

Saturday 15 February 2014

TAHLIL GANTI MAJLIS HARI JADI !!!

Gambar Hiasan
DUNGUN: "Sebelum ini kami gembira dan tak sabar meraikan hari jadi anak ketiga. Tapi, nampaknya majlis ulang tahun bertukar menjadi tahlil," kata S Roslina Abdul Halim, 38, selepas suaminya, jurukimpal maut dipercayai terkena renjatan elektrik, di sini, malam tadi.

Kejadian berlaku ketika mangsa, Mohd Nasir Setafa, 43, sedang melakukan kerja kimpalan bersama tiga rakan di rumahnya di Kampung Santong, Paka.

Roslina berkata, ketika kejadian dia bersama empat anaknya yang berusia dua hingga 11 tahun berada di rumah ibunya, kira-kira 500 meter dari kediamannya, pada 4 petang.

"Saya hampir pengsan bila seorang rakan suami datang dan beritahu suami tak sedarkan diri dan ketika berlari pulang ke rumah, suami saya sudah dibawa tiga rakannya ke Klinik Kesihatan Paka," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam tadi.

Roslina yang bekerja sebagai kerani di Tenaga Nasional Berhad (TNB) cawangan Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), bergegas ke Klinik Kesihatan Paka dan setengah jam selepas itu dia dimaklumkan suaminya sudah meninggal dunia.

"Arwah seorang pendiam dan kami berjanji untuk makan malam di kedai bersama anak-anak sempena meraikan hari jadi anak ketiga kami yang berusia tujuh tahun," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dengan kejadian itu.

Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment