ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SEBARKAN !!! BANTU @pdrm BURU TIGA PENJENAYAH !!!

Wednesday 29 January 2014

SEBARKAN !!! BANTU @pdrm BURU TIGA PENJENAYAH !!!



SLIM RIVER – Pihak polis sedang  giat memburu tiga penjenayah yang dipercayai bersembunyi dalam satu kawasan hutan berdekatan Plaza Tol Behrang, dekat sini, selepas melepaskan beberapa das tembakan dalam satu kejadian, kelmarin.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, semua suspek yang disifatkan berbahaya kerana mempunyai senjata api itu, meninggalkan kenderaan pacuan empat roda jenis Audi Q7 di Kilometer 379.1 Lebuhraya Utara Selatan sebelum melarikan diri ke hutan itu, kira-kira jam 7.40 petang selepas dikejar polis.

Suspek tiba-tiba  buat pusingan U

Menurutnya, tindakan kumpulan itu yang secara tiba-tiba membuat pusingan U setelah terperangkap dalam kesesakan lebuh raya berhampiran Tol Slim River mendatangkan rasa curiga sebelum polis mengejar kenderaan tersebut.

“Bagaimanapun suspek melepaskan tembakan ke arah polis sebelum meninggalkan kenderaan mereka dan melarikan diri ke hutan berhampiran."

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, kita menemui beberapa barangan kes termasuk lima bilah parang, alat pemotong, topeng muka dan dadah dipercayai syabu,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Dupeti Superintendan R Supramaniam dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Daerah Tanjung Malim, Asisten Superintendan Sila Kadong.

Difahamkan, kumpulan berkenaan cuba melarikan diri ke negeri ini setelah melakukan dua jenayah samun di Rawang, Selangor.

Sebelum kejadian, kumpulan itu cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya berhampiran IPD Tanjung Malim sebelum melanggar sebuah motosikal polis yang berada di bahu jalan.

Mohd Dzuraidi berkata, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kumpulan berkenaan ada kaitan dengan beberapa kes samun di Taiping, Kerian dan Ipoh.

“Kenderaan yang ditinggalkan itu juga kita syaki kereta samun yang berlaku di Taiping,” katanya.

Ops kesan dilancar

Hasil Ops Kesan yang digerakkan sejak semalam menemukan polis kepada beberapa barangan seperti topi, kunci dan duit kira-kira dua kilometer dari laluan utama, dipercayai milik suspek.

Mohd Dzuraidi berkata, pihaknya percaya, kesemua suspek berada dalam jarak antara lima hingga 10 kilometer di kawasan hutan itu.

“Kita gerakkan 60 anggota dalam operasi ini dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Gerakan perlu dilakukan segera kerana kita percaya suspek berbahaya. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalty lebih berat) 1971,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut meminta seorang individu dikenali Mohammad Hanifah Abu Bakar dari Kuala Kangsar tampil bagi membantu siasatan  polis berhubung kejadian itu.
SH

No comments:

Post a Comment