ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-59 !!!

Saturday 9 November 2013

MENJELANG MUKTAMAR PAS KE-59 !!!

Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November ini  yang bakal menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.

Pengarah Muktamar PAS ke-59, Datuk Takiyudin Hassan, berkata perasmian untuk muktamar dewan-dewan pula akan diadakan pada 20 November mulai jam 9 malam.

Katanya, Dewan Ulama akan bermuktamar di Dewan Banquet MBSA, Dewan Pemuda di Dewan Sivik MBPJ manakala Dewan Muslimat di Dewan Jubli Perak SUK Selangor.

“Pemilihan pucuk pimpinan PAS akan diadakan pada Jumaat petang selepas muktamar penuh diadakan pada sebelah paginya manakala keputusannya dijangka akan diperoleh pada petang 23 November,” katanya dipetik daripada Harakahdaily.

Beliau berkata, hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar ini dan bakal memilih pucuk pimpinan PAS untuk dua tahun akan datang.

Katanya, perwakilan adalah dari PAS kawasan seluruh negara, perwakilan dewan-dewan dan Jawatankuasa PAS Pusat yang ada.

Kumpulan Ulama Pas nampaknya cuba mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati bagi memastikan hanya seorang calon dari kumpulan tersebut bertanding untuk jawatan tertinggi parti. Ia bagi mengelakkan perpecahan undi berlaku seperti yang terjadi dalam pemilihan Muktamar parti itu sebelum ini.

Pada pemilihan tersebut, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah Mohamad Sabu berjaya menduduki jawatan Timbalan Presiden parti apabila undi golongan ulama dikatakan berpecah selepas persaingan turut menyaksikan ‘pertembungan’ dua ulama iaitu Nasharudin Mat Isa dan Tuan Ibrahim.

Oleh yang demikian, bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man melalui laman sosial Facebooknya semalam, memutuskan untuk tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden sebaliknya hanya akan bertanding jawatan Naib Presiden sahaja pada pemilihan Muktamar Tahunan Pas ke-59 November ini.

“Di dalam perlembagaan PAS, hak pencalonan diberikan sepenuhnya kepada PAS kawasan, manakala yang di calon pula diberikan hak untuk menerima atau tidak menerima."

“Keputusan seseorang calon untuk tidak menerima pencalonan bukan bermakna calon tidak menghargai pencalonan kawasan, manakala keputusan menerima pula tidak harus dilakukan sekadar untuk alasan merai kehendak kawasan."

“Setelah meneliti ketiga-tiga jawatan yang saya dicalonkan, antara Ahli Jawatankuasa, Naib Presiden dan Timbalan Presiden, maka saya dengan rendah diri menawarkan diri untuk menerima pencalonan sebagai Naib Presiden dalam Muktamar PAS ke-59 kali ini” ujarnya.

Lidah rasmi Pas, Harakah sebelum ini, melaporkan Jawatankuasa Pemilihan parti itu telah menerima seramai 5 nama untuk pencalonan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden iaitu Mohamad Sabu (penyandang), Datuk Husam Musa, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Tuan Ibrahim.

Namun Salahuddin dilaporkan telah mengumumkan untuk menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut kerana merasakan tidak ada keperluan untuknya bertanding jawatan tersebut buat masa ini.

Husam pula dikatakan masih mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ apabila mengatakan hanya akan membuat keputusan untuk bertanding mana-mana jawatan tertinggi parti selepas, Tuan Ibrahim membuat keputusan.

Sekiranya Husam turut mengambil pendekatan menarik diri, bagi mengelakkan perpecahan undi kumpulan liberal Pas, pemilihan parti itu pada hujung bulan depan bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu. Ia sekali gus bakal menyaksikan pertembungan antara kumpulan pro ulama menentang kumpulan liberal yang sinonim dengan gelaran Endorgan atau Anwarista.

Parti itu sebelum ini menetapkan Muktamar PAS ke-59 akan diadakan di Stadium Melawati Shah Alam mulai 22 hingga 24 November depan akan menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertingginya.

Keputusan parti itu untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini, berjaya menarik perhatian ramai apabila Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz membuat kenyataan yang meminta agar para perwakilan memilih ulama sebagai Timbalan Presiden parti.

Kenyataan Nik Aziz itu dilihat sebagai isyarat jelas ulama harus kembali menjadi Timbalan Presiden selepas jawatan itu ‘terlepas’ kepada golongan bukan ulama dalam pemilihan lalu. Malah Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dikatakan turut menyokong penuh saranan yang dikemukan oleh Nik Aziz itu.

No comments:

Post a Comment