ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERITA TERKINI KES TEMBAK & ROMPAK DI AMBANK !!!

Wednesday 30 October 2013

BERITA TERKINI KES TEMBAK & ROMPAK DI AMBANK !!!


Suspek tembak pegawai bank masih dalam negara

KUANTAN - Polis setakat ini belum memerlukan bantuan interpol dalam menahan suspek utama kes rompak dan bunuh pegawai Ambank di Selangor Rabu lepas kerana yakin lelaki itu masih berada di negara ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, pada masa ini pasukan khas yang ditubuh bagi menjejak lelaki itu bekerjasama dengan kontinjen seluruh negara termasuk mengawasi pintu-pintu sempadan agar tidak dibolosi suspek.

Sambil menyifatkan lelaki itu sebagai penjenayah berbahaya, beliau berkata polis percaya lelaki itu masih mempunyai senjata api pump gun dan boleh bertindak agresif dan membahayakan keselamatan awam.

"Pada masa ini, kami belum memerlukan bantuan Interpol dan berharap orang ramai yang mempunyai maklumat segera tampil membantu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Bakri ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Penyelarasan Sempena Persidangan Agung Pusat Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Pegawai Diwartakan(PPKP/CPW), Persatuan Pegawai Kanan Polis/Cawangan Inspektor (PPKP/CI) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis (PPRPD) ke-86.

Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani dan Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada pukul 6.20 petang Rabu lepas, Norazita Abu Talib, 37, maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya.

Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal bank berkenaan yang sebelum itu dibuka oleh mangsa untuk menyimpan wang.

Mohd Bakri meminta orang ramai segera menghubungi polis jika mempunyai maklumat berkaitan suspek.

"Pasukan polis amat mengalukan bantuan orang ramai untuk menyalurkan maklumat dan saya yakin suspek masih berada di dalam negara. Kami menjalankan siasatan dari pelbagai sudut termasuk sama ada suspek dibantu oleh pihak lain selepas melakukan jenayah itu," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran mana-mana individu yang cuba bersubahat membantu penjenayah paling kejam itu akan dikenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan.  - Bernama



11 kena tahan bantu siasatan

Kuala Lumpur: Seramai 11 individu dipercayai ahli keluarga dan rakan suspek utama kes pembunuhan kakitangan AmBank ditahan sehingga kini, di dua negeri bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan. 

Semua suspek iaitu lima perempuan dan enam lelaki berusia 24 hingga 44 tahun itu ditahan di Selangor dan Johor termasuk tiga daripada mereka ditangkap ketika hari pembunuhan itu. 

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar ketika mengesahkan perkara itu berkata, tangkapan terbaru membabitkan seorang lelaki di Johor petang kelmarin, manakala yang lain ditangkap  di Selangor.

Warga Indonesia 
“Semua mereka yang juga warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan polis kerana percaya individu terbabit turut mempunyai kaitan dalam kejadian pembunuhan Rabu lalu.

“Siasatan sehingga kini masih dijalankan dan beberapa lagi individu lain termasuk suspek utama masih menjadi buruan polis,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Dalam kejadian di USJ Sentral, Subang Jaya pada jam 6.20 petang, Rabu lalu, kakitangan AmBank, Norazita Abu Talib maut ditembak di kepala dari jarak dekat oleh pengawal keselamatan tempat kerjanya. 

Suspek kemudian melarikan wang tunai RM450,000 dari bilik kebal berkenaan yang sebelum itu dibuka mangsa untuk menyimpan wang.

FB suspek jadi tumpuan

Akhbar semalam melaporkan, akaun Facebook dipercayai milik suspek utama pembunuhan itu mula menjadi perhatian orang ramai sejak Ahad lalu.

Laman itu yang menggunakan nama Ardi Ode Putra Katela menggunakan gambar profil mirip wajah suspek yang diedarkan polis sejurus pembunuhan berlaku.

Ditanya sama ada suspek utama sudah melarikan diri ke negara jiran melalui jalan tikus sejak kes berkenaan, Abdul Rahim menolak andaian berkenaan, sebaliknya beliau menjelaskan suspek dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ia berdasarkan kawalan ketat di semua pintu sempadan sama ada laluan tikus atau laluan utama, sekali gus menghalang buruan polis itu meloloskan diri- Bernama

No comments:

Post a Comment