ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIMBALAN PRESIDEN PAS TIDAK SEMESTI ULAMA !!!

Saturday 14 September 2013

TIMBALAN PRESIDEN PAS TIDAK SEMESTI ULAMA !!!


PETALING JAYA: Pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS perlu terbuka kepada individu yang berkaliber untuk memimpin parti dan tidak hanya dihadkan kepada ciri golongan tertentu sahaja.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Abdul Samad berpendapat, Timbalan Presiden akan menjadi ‘panglima perang’ memimpin parti di medan politik dan bukannya dianggap sebagai penghormatan khas kepada ulama sahaja.
“Jawatan ini bukan sebagai suatu ‘penghormatan’, iaitu yang dihormati sebagai ulama maka diberi jawatan tersebut. Jawatan ini datang dengan satu amanah tertentu.
“Perlu diberi kepada yang boleh melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang datang bersama dengan jawatan tersebut,” katanya.
Menurut Khalid, jawatan Timbalan Presiden tidak perlu dihadkan kepada individu yang mampu membuat hukum hakam kerana sudah ada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama yang bertugas mengawal perjalanan parti dari sudut hukum dan dasar.
Sebaliknya individu yang layak itu perlu membuktikan dirinya mampu menangkis fitnah, penipuan dan kejahatan pihak lawan serta bertanggungjawab memastikan PAS kekal relevan.
Fitnah dan tribulasi
“Orang yang tidak mudah dikelirukan dengan fitnah dan tribulasi, malahan mampu membacanya dan menangkisnya sebelum ianya melanda.
“Orang yang tidak mudah termakan kata memuji dan janji kosong malah mampu membaca kejahatan disebalik kata manis itu.
“Orang yang mempunyai wawasan kemenangan yang jelas dan kaedah realistik untuk mencapainya,” katanya.
Bagaimanapun Ahli Parlimen Shah Alam itu menegaskan peranan ulama juga tidak boleh semestinya diketepikan dan boleh dipilih sebagai Timbalan Presiden jika indvidu itu juga ada mempunyai kualiti ciri-ciri tersebut.

“Jangan dipilih seseorang atas sebab semata-mata kerana beliau ulama ataupun bukan.
“Jangan juga menolak seseorang kerana semata-mata dia ulama’ atau bukan,” katanya.
Ditanya sama ada penyandang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu wajar dikekalkan jawatannya, Khalid berkata itu terpulang kepada perwakilan parti untuk menilai prestasinya sepanjang tiga tahun lalu.
“Kalau baik kekalkan. Kalau tidak baik dan dirasakan ada yang boleh memberi prestasi yang lebih baik, maka tukarlah,” katanya.
Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam membetulkan kenyataannya sebelum ini mengenai kriteria seseorang sebagai Timbalan Presiden.
Bekas Menteri Besar Kelantan ini menafikan dirinya cenderung menyokong kumpulan ulama menyandang jawatan nombor dua parti sebaliknya menganggap semua pemimpin PAS adalah ulama.
“Profesional pun ulama juga, begitu juga ulama pun profesional. Sengaja ada pihak hendak sebut dua nama, sedangkan sebenarnya satu sahaja,” katanya – FMT

No comments:

Post a Comment