ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: AWASI ANAK-ANAK KETIKA MELAYARI INTERNET !!!

Saturday 24 August 2013

AWASI ANAK-ANAK KETIKA MELAYARI INTERNET !!!


Ibu bapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu mengenai trend terbaru di internet bagi mengawal selia anak mereka ketika melayari internet.

Ketua Bahagian Jangkauan dan Penglibatan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar berkata ini kerana kebanyakan pengguna internet pada masa kini adalah kanak-kanak dan remaja.


Dalam satu temu bual dengan Bernama di sini, beliau berkata kajian yang dijalankan SKMM baru-baru ini mendapati 92.8 peratus responden merasakan tanggungjawab pengawal seliaan internet berada di atas bahu ibu bapa.

"Memang ramai ibu bapa yang tidak begitu arif dengan penggunaan media sosial ataupun internet, langkah pertama yang perlu diambil ialah lengkapkan diri dengan ilmu... apakah yang terbaru.

"Ada juga ibu bapa yang membuka akaun Facebook kerana ingin memantau aktiviti anak mereka di laman sosial itu, dalam masa yang sama kita dapat mendampingi dan mendekati mereka," katanya.

Eneng Faridah berkata selain itu, ibu bapa juga perlu memastikan anak mereka menggunakan internet di tempat terbuka.

"Ibu bapa perlu tahu kegiatan anak mereka, sentiasa tengok apa yang mereka sedang layari dan boleh berkongsi apa yang mereka lihat di internet dengan ibu bapa supaya mereka boleh berbincang bersama," katanya.

Katanya bil telefon ataupun internet perlu dipantau bagi memastikan anak tidak melayari internet terlalu lama ataupun membuat transaksi wang untuk pembelian dalam talian.

Beliau berkata ibu bapa digalakkan mengenali rakan anak mereka di laman sosial bagi mengelakkan berkawan dengan orang yang tidak dikenali ataupun mencurigakan.

"Ada yang berlumba-lumba hendak tunjuk siapa yang paling ramai kawan, tetapi mungkin ada antara kawan itu yang berniat tidak baik, kalau ada masa pantau kawan anak anda dan tanya siapakah kawan anak anda itu," katanya.


Beliau berkata ibu bapa juga boleh mendedahkan beberapa kes penyalahgunaan internet dan tindakan yang boleh dikenakan kepada anak mereka bagi memberi pengajaran agar mereka lebih berhati-hati dan berwaspada.
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment