ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PR TIDAK KONSISTEN BOIKOT PARLIMEN !!!

Friday 14 June 2013

PR TIDAK KONSISTEN BOIKOT PARLIMEN !!!


Tidak konsisten. Hanya itu istilah yang sesuai. Pendirian pemimpin pembangkang untuk tidak memboikot sidang Dewan Rakyat telah membuktikan bahawa Pakatan Rakyat tidak konsisten dengan pendirian mereka selama ini.
Apabila mereka menyatakan persetujuan untuk hadir pada sidang Dewan Rakyat dan akan mengangkat sumpah yang dijadualkan 24 Jun ini ianya dilihat telah bercanggah dengan pendirian mereka yang tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya 5 Mei lalu.
Hal ini sekaligus memperlihatkan ketidakwibawaan pimpinan PR apatah lagi kenyataan dan pendirian mereka selama ini tidak pernah selari dengan hasrat mereka.
Seperti sebelum ini mereka menyatakan bahawa mereka membantah, mempertikai dan menolak keputusan pilihan raya tetapi kerajaan PKR di Selangor, kerajaan DAP di Pulau Pinang dan kerajaan PAS di Kelantan terus mengangkat sumpah di negeri yang dimenangi.
Begitu juga bila mereka mengatakan tidak mempercayai kredibiliti SPR, tetapi mereka masih juga menerima kemenangan di kawasan yang dimenangi.
Jadi timbul persoalan, jika benar pakatan pembangkang terlalu mempercayai bahawa berlaku penipuan dalam pilihan raya kenapa perlu mereka mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat? Dan kini, biar apa pun hujah pembangkang, keadaan telah pun membuktikan mereka tidak pernah konsisten dengan apa yang mereka katakan.
Difahamkan isu memboikot majlis mengangkat sumpah di Parlimen ini mulanya adalah gesaan gabungan NGO SuaraRakyat505 dalam kenyataan terbuka Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) baru-baru ini.
Kumpulan NGO ini melihat ianya sebagai bukti untuk tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya di samping cara untuk menguatkan lagi bantahan pakatan yang selama ini disalurkan melalui siri perhimpunan di seluruh negara.
Bagaimanapun selepas gesaan itu, cadangan tersebut telah ditolak oleh beberapa pimpinan DAP dan PAS. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyatakan bahawa Ahli Parlimen PAS akan tetap menghadiri sidang Parlimen seperti biasa, kecuali taklimat Parlimen yang diadakan baru-baru ini.
Bahkan ianya disokong oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyatakan bahawa dakwaan untuk memboikot majlis angkat sumpah dan persidangan Dewan Rakyat pada sesi kali ini tidak pernah dibincangkan sama sekali. Datuk Mahfuz sendiri menjangkakan semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan hadir pada majlis angkat sumpah tersebut sekaligus akan mengikuti titah ucapan DiRaja pada 24 Jun ini.
Begitu juga dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke mengakui parti itu tidak mempunyai rancangan untuk memboikot sidang Parlimen kelak. Terkini, Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin juga tidak bersetuju dengan cadangan untuk memulau majlis Angkat Sumpah Dewan Rakyat.
Bukan sekadar itu, terdapat ramai lagi pimpinan PR yang turut tidak bersetuju untuk memboikot sidang Dewan Rakyat. Terbaru, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu dalam mesyuarat Biro Politik PKR bahawa beliau tidak pernah menyebut untuk memboikot majlis angkat sumpah di Parlimen pada 24 Jun ini.
Jadi apabila mereka memutuskan sebegitu, di manakah pendirian mereka selama ini yang tidak mengiktiraf keputusan pilihan raya? Jika benar mereka menolak keputusan pilihan raya, mereka perlu bersepakat dalam segala hal. Jika tidak mereka harus akur dengan keputusan pilihan raya sejak dari awal lagi.

PKR Buat Pusingan U, Tidak Jadi Boikot Parlimen

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya membuat pusingan ‘U’ terhadap cadangan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pembangkang memboikot majlis angkat sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.
Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali sebaliknya menegaskan bahawa wakil rakyat parti itu tetap akan menghadiri upacara tersebut.
“Saya ingin menjelaskan bahawa PKR tidak pernah memutuskan untuk memboikot majlis angkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.
“Semua Ahli Parlimen PKR akan menghadiri majlis angkat sumpah itu nanti. Selepas itu kami akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan bersungguh-sungguh,” katanya menerusi satu kenyataan lewat malam Rabu.
Sebelum itu Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut dilaporkan berkata tidak bersetuju dengan cadangan memboikot upacara angkat sumpah tersebut.
Tegas Zuraida, semua wakil rakyat PKR perlu menghadiri majlis berkenaan bagi melayakkan mereka turut serta dalam sesi persidangan Dewan Rakyat bagi penggal Parlimen ke-13.
Pada 7 Jun lepas, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor mempertimbangkan untuk memulaukan sesi pembukaan ke-13 Parlimen dengan tidak menghantar soalan untuk perbahasan.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam sätu laporan menegaskan tidak akan memulaukan upacara angkat sumpah walaupun parti itu tidak puas hati dengan sistem pilihan raya dan akan memfailkan petisyen pilihan raya.
Tiga hari kemudian, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu membuat pendirian yang sama dengan DAP dan Ahli Parlimen Pas akan menghadiri sidang Parlimen seperti biasa – Mstar

No comments:

Post a Comment