ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PKR & PAS BEREBUT KERUSI DUN KUALA BESUT ???

Saturday 29 June 2013

PKR & PAS BEREBUT KERUSI DUN KUALA BESUT ???

PKR menawarkan diri untuk meletakkan calon dalam Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, kata Pengerusi parti peringkat negeri, Azan Ismail
Azan Ismail dilaporkan Sinar Harian berkata, PKR mempunyai calon berpotensi untuk bertanding di kawasan tersebut yang sebelum ini ditandingi calon Pas, Napisah Ismail.
“Saya yakin Pas akan pertimbangkan calon daripada PKR. Bagi memperbaiki kedudukan di Terengganu, adalah baik Pas beri pertimbangan calon PKR di situ,” katanya.

Kenyataan pemimpin PKR ini sudah tentu akan mendatangkan polemik pergeseran di antara PKR dan PAS. 


Sementara itu Pas Terengganu telah mengarahkan semua cawangannya di Besut melakukan persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil  yang bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut susulan kematian penyandang Dr A. Rahman Mokhtar semalam.

Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Abdul Wahid Endut berkata parti itu harus bekerja keras untuk menawan kerusi tersebut memandangkan sepanjang 13 kali pilihan raya umum diadakan, PAS hanya menang dua kali di kerusi berkenaan.

Beliau yang mengakui sukar untuk Pas menang di situ bagaimanapun berkata parti itu mempunyai strategi bagi menambah undi.

"Bukan perkara mustahil untuk Pas menang kali ketiga," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Penyandang, Allahyarham A. Rahman, 55, daripada Barisan Nasional (BN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu semalam akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 bulan lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2008 itu dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon PAS Napisah Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Abdul Wahid berkata pilihan raya kecil itu sangat penting kerana kerajaan negeri Terengganu sekarang ditadbir BN dengan kelebihan dua kerusi Dun.

"Sekarang ini Barisan Nasional ada 17 kerusi manakala pembangkang ada 15 kerusi. Andainya PRK (pilihan raya kecil) Kuala Besut ini memihak kepada kita, kedudukan akan jadi sama, seimbang iaitu 16-16.

"Andai ini terjadi kita akan rujuk kepada Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan pandangan daripada pengamal undang-undang," katanya.

Mengenai calon Pas, beliau berkata parti itu menyerahkan kepada cawangan untuk mencadangkan nama yang difikirkan sesuai. - Bernama

No comments:

Post a Comment