ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATE #LAHAD DATU @220313

Saturday 23 March 2013

UPDATE #LAHAD DATU @220313

SEORANG LAGI PENGGANAS KIRAM BERJAYA DI TEMBAK.
Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas Kiram dan menahan seorang wanita berusia lewat 40-an dalam satu pertempuran di Kampung Tanjung Batu, di sini semalam.

Perkara itu disahkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Felda Sahabat 16, di sini hari ini. - UTUSAN

SEORANG LAGI PENGGANAS KIRAM BERJAYA DITANGKAP.
Dalam operasi di kampung Tanjung Batu tadi seorang pengganas Kiram III berjaya ditangkap hidup-hidup. Alhamdulillah dalam operasi itu juga pasukan keselamatan kita tiada yang cedera.

TERTUDUH MENGAKU DI MAHKAMAH BELIAU DIUPAH
TAWAU 21 Mac - Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah. Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas. 

Selepas selesai pertuduhan dibaca, Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000. - BERNAMA


MAYAT PENGGANAS DIPENUHI TATU AL-QURAN
Kumpulan militan dari selatan Filipina yang menceroboh persisir pantai Lahad Datu mendakwa mereka adalah pejuang Islam, tetapi berdasarkan tanda-tanda yang ditemui pada mayat pengganas itu, mereka menggunakan ilmu kebatinan yang berunsur syirik.


Antara benda-benda berunsur syirik yang ditemui pada mayat pengganas ialah tangkal yang mereka percayai boleh menjadikan anggota militan kebal dan takwim bagi meramal hari yang sesuai untuk menyerang pasukan keselamatan.

Menurut sumber pasukan keselamatan, terdapat pengganas yang mati ditembak memakai tangkal dan mempunyai tatu ayat al-Quran di badan.

"Mereka mungkin kebal dengan peluru tetapi tidak setiap masa. Malah jika kulit mereka tidak lut namun letupan mortar mampu membunuh mereka," katanya.

Beliau berkata ada satu mayat pengganas yang mempunyai kesan hitam dipercayai kesan peluru namun kemungkinan kematian pengganas itu disebabkan luka dalaman akibat bunyi dan letupan mortar.

"Peliknya pengamal ilmu batin ini, mayat pengganas cepat busuk dan dihurungi ulat dalam tempoh sejam. Jika manusia biasa ulat akan hurungi mayat itu jika dibiarkan lebih dari dua atau tiga hari," katanya.

Pengganas yang didakwa menggunakan ilmu batin untuk kebal turut memakai tangkal dan kad meramal hari, iaitu ilmu Kutika yang dipelajari daripada buku Tajul Muluk dan perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Itu mungkin kepercayaan mereka," katanya selepas ditemui pemberita di markas operasi Felda Sahabat 16 - BERNAMA

SEORANG PENCEROBOH DITEMBAK MATI, WANITA DITAHAN DALAM OP DAULAT.
Lahad Datu, 21 Mac - Pasukan keselamatan menembak mati seorang pengganas ketika operasi penggeledahan di Kampung Tanjung Batu pada kira-kira 1.30 tengah hari semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang maut 63 orang. Seorang militan wanita berusia lewat 40-an serta tidak bersenjata turut ditahan dalam operasi itu.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata kejadian itu susulan daripada pertempuran yang tercetus pada 11.30 pagi yang menyebabkan seorang anggota tentera cedera di jari kiri akibat terkena serpihan peluru.

"Susulan itu, pasukan keselamatan terus menjejaki musuh dan berlaku pertempuran di mana pasukan kita telah membunuh seorang daripada mereka serta menahan seorang wanita.

"Anggota tentera yang tercedera dibawa ke hospital berdekatan dan selepas pembedahan, keadaannya stabil," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Berhubung statistik terkini pencerobohan, Khalid berkata 30 mayat militan berjaya dikeluarkan dan selesai dibedah siasat, namun sehingga kini tiada pihak tampil menuntut mayat-mayat itu.

Jumlah tangkapan di bawah SOSMA kekal 108 orang, manakala 268 individu ditahan mengikut lain-lain akta setakat ini, katanya. - BERNAMA


KAMPUNG TANDUO BERJAYA DIAMBIL KEMBALI
Anggota tentera akan mendiami Kampung Tanduo sebagai jaminan bahawa kampung yang menjadi lokasi pendaratan penceroboh militan itu bebas daripada ancaman pengganas, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penduduk yang mendiami 12 rumah di kampung itu kembali yakin dan bersedia untuk menjalani rutin harian mereka.

"Sebagai permulaan penempatan itu akan dilakukan dalam tempoh seminggu atau dua minggu dan tempoh itu sedia dipanjangkan bergantung kepada keadaan semasa.

"Ini bagi memastikan penduduk tidak berasa takut untuk menyambung semula rutin harian mereka selepas insiden pencerobohan itu," katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Felda Sahabat di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak kemungkinan "ada sesuatu yang disembunyikan dan belum diselesaikan" di kawasan itu selepas pasukan keselamatan enggan membenarkan penduduk kampung terbabit pulang ke rumah walaupun Kampung Tanduo diisytihar bersih dan bebas daripada ancaman kumpulan pengganas sejak 11 Mac lepas.

Sambil menafikan andaian itu, Zulkifeli berkata, tindakan itu dibuat kerana tentera dan polis terlalu komited dalam memastikan keselamatan penduduk benar-benar terjamin sebelum mereka dibenar pulang.

Beliau berkata, sebagai bukti kesungguhan pasukannya, beliau akan memastikan nelayan yang turun ke laut juga akan dikawal dan diringi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia sepanjang tempoh itu.

Katanya, apa yang diharapkan adalah penduduk sama-sama menyalurkan maklumat bagi membolehkan pasukan keselamatan bertindak sekiranya terdapat individu atau berlaku insiden mencurigakan di kawasan mereka.

Pada sidang akhbar sebelum itu, Zulkifeli menjelaskan, penduduk Kampung Tanduo akan dibenar pulang selepas berakhirnya penilaian yang dilakukan Majlis Keselamatan Negara, Majlis Daerah Lahad Datu dan Ibu Pejabat Polis Lahad Datu di kampung itu yang akan bermula selewat-lewatnya esok.

Katanya, kelewatan membenarkan penduduk pulang ke rumah ialah bagi memastikan kewasan kampung itu yang di kelilingi paya, hutan dan semak samun, benar-benar selamat daripada ancaman selepas ia menjadi sasaran utama militan selain berlaku banyak pertempuran di situ sebelum ini.

No comments:

Post a Comment