ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATE #LAHAD DATU @ 100313

Sunday 10 March 2013

UPDATE #LAHAD DATU @ 100313



PASUKAN KESELAMATAN GEMPUR HABIS-HABISAN PENGGANAS #LAHAD DATU

Pasukan keselamatan mara ke kawasan baru menghampiri kawasan penceroboh militan selatan Filipina bersembunyi di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu, kira-kira 120 kilometer dari sini.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, fokus pasukan keselamatan kini adalah untuk membersihkan kawasan itu secara besar-besaran.

"Kami percaya saki-baki musuh itu sekarang ini berada di kedua-dua tempat (Kampung Tanduo dan Tanjung Batu) ini," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Kawasan Felda Sahabat 16 adalah markas operasi pasukan keselamatan pada Operasi Daulat dan terletak kira-kira 20km dari Kampung Tanduo yang menjadi kubu penceroboh militan sejak 12 Februari lepas.

Sehingga kini pasukan keselamatan menembak mati 53 musuh dan lapan anggota polis terkorban. Pasukan keselamatan turut menahan 106 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan itu.-Bernama 

RAKYAT TEMPATAN YANG DISYAKI BERSUBAHAT DENGAN PENGGANAS JUGA DITAHAN

Lebih 70 individu termasuk wanita, sebahagiannya dipercayai rakyat tempatan ditahan kerana disyaki ada kaitan dengan pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 (SOSMA) yang digubal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Penahanan yang dilakukan di luar kawasan Ops Daulat itu hasil risikan dan serbuan pegawai serta anggota Cawangan Khas Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di beberapa rumah dan premis di seluruh Sabah. Kebanyakan mereka ditahan di Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu.

Ops Daulat diteruskan pada hari keempat semalam, dengan tiga pesawat pejuang dan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilihat berlegar di ruang udara pada sebelah pagi bagi memantau dan mengesan pergerakan musuh.

Letupan mortar juga didengari di Kampung Tanduo pada jam 2.30 petang dan 5 petang dipercayai dilepaskan dari kereta perisai pasukan keselamatan.

TIGA MAYAT PENGGANAS DIBUNUH



Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di FELDA Sahabat 16, turut menunjukkan gambar tiga mayat pengganas yang dibunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu kelmarin dan baju ketua pengganas berpangkat jeneral.

Bagaimanapun Ismail berkata, nasib ketua kumpulan pengganas, Agbimuddin Kiram belum diketahui, walaupun seorang daripada yang terbunuh itu memakai pakaian jeneral.

Berdasarkan gambar baju celoreng itu tertera ‘Royal Sulu Army’ tetapi nama pada bahagian depan sebelah kiri baju sudah dipadamkan.

Menurut sumber, persoalan sama ada lelaki dibunuh itu Agbimuddin sukar dipastikan kerana ada kemungkinan adik Jamalul Kiram III mengarahkan anak buahnya memakai baju itu bagi mengelirukan pasukan keselamatan.

Ismail berkata, semua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan enam pegawai dan anggota polis Cawangan Khas yang terkorban dalam serangan hendap di Kampung Sri Jaya, Simunul di Semporna, 2 Mac lalu.

“Kami masih menjalankan siasatan sama ada mereka itu pengganas yang diburu pasukan keselamatan kita di Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu,” katanya.

Zulkifeli berkata, sehingga petang ini, pihaknya masih menunggu Wisma Putra berkaitan dakwaan penceroboh akan menyerah diri dan meletak senjata tanpa syarat.

“Kami menghubungi Wisma Putra dan masih tiada berita sejak pagi tadi (semalam)... tiada isyarat (serah diri dan letak senjata) daripada pihak berkenaan. Justeru, Ops Daulat diteruskan,” katanya.

Ditanya sama ada suspek terbabit memiliki MyKad atau dokumen Pen
duduk Tetap (PR), Ismail berkata: “Kami tidak boleh mengesahkannya kerana masih dalam siasatan.”


PASUKAN KESELAMATAN MENAHAN 27 ORANG DI ZON MERAH



Pasukan keselamatan menahan 27 orang yang menaiki tiga buah bot ketika berada di Zon Merah Ops Daulat di kawasan pantai Tanjung Batu, dekat sini pada 10 pagi Sabtu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata mereka yang mendakwa kononnya ingin menangkap ikan ditahan di atas bot masing-masing setelah pihak keselamatan mencurigai kehadiran mereka di kawasan larangan itu. 


"Kita curigai kehadiran mereka berhampiran lokasi operasi, jadi kita serahkan kesemua mereka kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut. "Walaupun tiada senjata ditemui, saya telah arahkan polis Daerah Lahad Datu untuk jalankan siasatan mendalam dan akan ambil tindakan sewajarnya jika mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh berkenaan," katanya dalam sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin di markas operasi Op Daulat Felda Sahabat 16, dekat sini, Sabtu. 


Beliau berkata penahanan itu menjadikan jumlah mereka yang ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan dari Sulu meningkat kepada 106 orang, berbanding 79 orang semalam.-Bernama 




2 ANGGOTA PGA CEDERA

Dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam kejadian tembak menembak dengan pengganas Sulu di Kampung Tanjung Batu kira-kira pukul 8 malam Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, berkata dalam pertempuran selama enam jam itu itu, dua anggota dari PGA Miri cedera di bahagian betis dan peha. Mereka dibawa ke Hospital Dutchess Of Kent, Sandakan.

Bagaimanapun menerusi sidang media pada Ahad, Hamza tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat musuh yang berjaya ditembak atau tidak dalam pertempuran tersebut.

No comments:

Post a Comment