ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UMNO TIDAK TIPU PAS !!!

Sunday 17 February 2013

UMNO TIDAK TIPU PAS !!!


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada penipuan yang dilakukan oleh Umno berhubung dakwaan bahawa PAS telah ditipu oleh Umno semasa parti itu berada dalam Barisan Nasional (BN).
Bekas perdana menteri itu berkata Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama Umno dalam usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.
“Katanya PAS telah ditipu oleh Umno semasa PAS berada dalam BN. Bagaimana Umno menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang,” katanya dalam entri terbaharu dalam blog beliau di www.chedet.cc Rabu. http://chedet.cc/?p=914 )
Katanya perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno dan kekalahan parti itu pada pilihan raya negeri Kelantan pada Mac 1978 menyebabkan ia keluar daripada BN.
“Perpecahan dalam PAS bukan kerana Umno tetapi kerana Datuk Mohd Nasir (Menteri Besar Kelantan ketika itu) mencabar kepimpinan Datuk Asri Muda (Presiden PAS ketika itu). Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari BN. Tidak ada penipuan oleh Umno,” katanya.
Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau adalah menteri dalam kabinet Tun Hussein Onn ketika PAS keluar dari BN, begitu juga berada dalam kabinet Tun Abdul Razak Hussein bersama Datuk Asri Muda dan Hassan Adli (Timbalan Yang Dipertua Agung PAS ketika itu) semasa PAS menyertai BN.
“Datuk Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna beliau bertanggungjawab terhadap FELDA."
“Selepas beberapa bulan PAS menyertai BN, anggota Umno Johor mengadu kepada Tun Razak bahawa Datuk Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu,” katanya.
Katanya secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat Umno dan selepas Asri bertanggungjawab ke atas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak Umno.
“Pada waktu itu timbul sengketa antara Asri sebagai ketua PAS dengan Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk menggantikan Asri. Mohd Nasir mendakwa beliau telah mengesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Asri semasa menjadi Menteri Besar Kelantan,” katanya – Bernama

No comments:

Post a Comment