ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HADI AWANG DIDESAK TARIK BALIK "AMANAT HADI"

Tuesday 18 December 2012

HADI AWANG DIDESAK TARIK BALIK "AMANAT HADI"


Ekoran puluhan ribu pengikut Pas masih percaya UMNO kafir
KUALA LUMPUR 16 Disenber 2012 – Puluhan ribu ahli dan pengikut tegar Pas dikesan masih berpegang teguh kepada amanat Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 1981 yang mengkafirkan UMNO sehingga mereka kekal sehingga kini menganggap orang UMNO adalah kafir.
Perkara itu didedahkan sendiri aktivis yang juga bekas ahli seumur hidup Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C. N al-Afghani berikutan masih ramai pengikut tegar parti itu percaya, pemimpin serta ahli UMNO jauh lebih hina daripada orang-orang bukan Islam.
Sehubungan itu, Zainon mendesak Abdul Hadi yang kini memegang tampuk kepimpinan Pas menarik balik amanat berkenaan demi kepentingan umat Islam di negara ini kerana selagi beliau tidak berbuat demikian, orang Melayu akan kekal berpecah sampai bila-bila.
Katanya, dalam soal tersebut Abdul Hadi perlu meletakkan kepentingan akidah jauh lebih penting daripada pertimbangan politik kerana jika tidak, puluhan ribu pengikut Pas terus bergelumang dengan dosa akibat mengkafirkan saudara seagama hanya kerana perbezaan politik.
“Kepimpinan Pas tidak boleh berdiam diri dalam hal ini seolah-olah Abdul Hadi tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika mengeluarkan amanat kerana kesannya kepada masyarakat terlalu besar. Soal kafir-mengkafir ini isu akidah jauh melebihi kepentingan politik."
“Saya salah seorang ahli Pas yang terpengaruh dengan amanat tersebut sehingga sanggup mengkafirkan ayah dan abang sendiri. Sehingga kini saya tidak tenang kerana dihantui dosa itu. Saya memohon kepada Allah agar diampunkan dosa sebelum ajal menjelma."
“Tapi sebagai individu bertanggungjawab apatah ketika berkuasa, Abdul Hadi perlu membetulkan semula akidah pengikut Pas kerana masih terdapat puluhan ribu ahli parti yang taksub dan menganggap UMNO kafir,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini."
Menurut Zainon, walaupun sudah 31 tahun berlalu, tetapi amanat Abdul Hadi membarah sehingga ke hari ini di dalam jiwa dan pemikiran pengikut tegar Pas menyebabkan mereka menolak mentah-mentah apa sahaja termasuk kebaikan yang cuba dibawa kerajaan.
Dalam pada itu, Zainon berkata, beliau sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai ‘serangan’ yang bakal dilemparkan pemimpin Pas termasuk ‘tuduhan wajib’ seperti dibeli oleh UMNO kerana bertindak mendesak Abdul Hadi menarik balik amanat beliau yang membawa perpecahan.
“Saya buat semua ini atas sifat keinsafan diri demi untuk melihat akidah orang Islam khususnya pengikut tegar Pas yang bertindak mengkafirkan saudara seagama dapat diperbetulkan semula dan bagi tujuan itu, saya sedia bersemuka dengan mana-mana pemimpin Pas,” katanya. – Utusan Malaysia

DUA MUFTI GESA HADI AWANG TARIK BALIK ‘AMANAT 1981′

KUALA LUMPUR – Dua orang mufti termasuk Tan Sri Harussani Zakaria menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.
“Selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, melaksanakan amalan, bagaimana boleh dikatakan kafir.
“Itu hanya pendapat melulu dan tidak berasas,” kata Mufti Perak kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena pertemuan bersama Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan di sini, hari ini.
Katanya, perkara ini sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.
“Dari segi syarak, saya bangkit mengatakan kebenaran. Beliau (Hadi) wajib menarik balik amanat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno sebaliknya ke atas Hadi.
“Saya bersetuju untuk beliau (Hadi) menarik balik amanat tersebut. Beliau juga perlu kembali kepada Ahli Sunnah Waljamaah,” katanya.
Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak hanya bercakap perkara yang benar sahaja.
“Ada ayat al-Quran menyebut jauhkan diri daripada prasangka tidak baik.
“Adalah lebih baik kita mengikut nas al-Quran, sama ada daripada tulisan atau ceramah,” katanya.
Hadi Awang pernah mengeluarkan amanat demikian pada tahun 1981 dan menjadi pegangan ribuan ahli parti itu sehingga ke hari ini – Sinar Harian

No comments:

Post a Comment