ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MUHASABAHLAH DIRI KITA

Friday 19 October 2012

MUHASABAHLAH DIRI KITA


Bila tibanya tahun baru, tidak kira tahun baru Islam mahupun tahun baru masihi, masing-masing antara kita sibuk untuk menetapkan azam baru dalam memperbaiki atau mempertingkatkan mutu mahupun kualiti dalam kehidupan kita.

Namun kebanyakan kita selalu terlupa untuk muhasabah kembali azam-azam itu yang lepas. Diulanginya setiap perkara negatif yang menjauhkan kita dari mencapai azam yang di tetapkan itu. Muhasabah ini hendaklah dilakukan selepas setiap amal yang dilakukan agar hati kita tenteram dan kita tidak menyeleweng dari ketetapan Allah dan sentiasa mematuhi arahan dan meninggalkan larangan-NYA.

Mengikut Ibnu Qudamah:
"Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenalpasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat."
Ibnul Qaiyim pula berkata:
"Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali."
Dengan bermuhasabah diri, kita dapat menilai setiap perbuatan kita, apakah ianya mencapai matlamat, menghampiri matlamat atau lebih teruk menjauhi matlamat yang kita tetapkan. Dengan bermuhasabah juga, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua,kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatan kualiti diri mereka dari masa ke semasa.
Sabda Rasulullah saw :
"Orang muslim itu tidak akan di patuk ular pada lubang yang sama untuk kali kedua"
Kelebihan bermuhasabah
  1. Dapat mengenali kekurangan diri, maka dengan itu dapatlah kelemahan itu di perbaiki.
  2. Dapat bertaubat, menyesali dan meninggali setiap kesalahan yang lepas.
  3. Dapat mengenali hak Allah taala ke atas diri kita.
  4. Dapat mengelakkan diri dari mengulangi kesalahan yang lepas dan seterusnya mempertingkatkan amalan soleh.
  5. Dapat mempersiapkan diri sebelum bertemu dengan Allah di hari akhirat kelak.

Seperti yang di katakan oleh Umar al-khattab :
"Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.
Maka, di kesempatan ini, saya menyeru kepada diri sendiri terutamanya, dan seterusnya kepada pembaca-pembaca yang di rahmati Allah sekalian, agar kita sentiasa muhasabah diri kita dari masa ke semasa, agar dapat memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi diri kita dan lebih-lebih lagi dalam mengerjakan amal ibadah kepada Allah. Semoga hari ini lebih baik dari hari-hari kita yang sebelum ini.
WALLAHUALAM !!!

No comments:

Post a Comment